
Laporan/foto: Shalene Selva Segar
GEORGE TOWN, 20 Ogos (MalaysiaAktif) – Malaysia Hindu Sangam Pulau Pinang dengan kerjasama Sri Ramakrishna Ashrama dan Penang Hindu Endowments Board telah menganjurkan 47th Thirumurai Recital Vizha 2025 di Sri Ramakrishna Ashrama dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramakrishna, kelmarin.

Peserta bergambar kenangan bersama-sama Ramkarpal Singh Ahli Parlimen Bukit Gelugor.
Acara tahunan yang kini memasuki edisi ke-47 itu menghimpunkan peserta dari seluruh negara bagi mempersembahkan bacaan Thevaram, himpunan puisi suci Tamil yang menjadi sebahagian daripada kitab Thirumurai.
Tradisi bacaan berkenaan telah diwarisi sejak abad ketujuh masihi melalui karya tiga penyair agung Saiva Siddhanta, iaitu Thirugnanasambandar, Appar dan Sundarar.
Majlis tersebut turut disatukan dengan sambutan 60 tahun penubuhan Malaysia Hindu Sangam sekali gus mencerminkan komitmen pertubuhan itu dalam memelihara serta mengembangkan warisan agama dan budaya Hindu di Malaysia.

Antara peserta yang memperdengarkan bacaan Thevaram.
Menurut seorang pengunjung, R. Subramaniam, 30, penganjuran festival itu dapat menghidupkan semula warisan kerohanian Tamil serta menjadi jambatan untuk menarik generasi muda mendekati seni bacaan suci tersebut.
“Saya amat terharu melihat kanak-kanak dan pelajar sama-sama mengambil bahagian, ini bukti bahawa tradisi Thirumurai masih relevan dan mampu terus berkembang dalam kalangan generasi baharu,” katanya kepada MalaysiaAktif.
Dengan penglibatan masyarakat pelbagai lapisan, Thirumurai Recital Vizha bukan sahaja menjadi medan memperkukuh perpaduan komuniti malah memperlihatkan betapa seni dan tradisi dapat terus hidup segar dalam jiwa generasi kini.
-RI





