Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Hari Pahlawan Kapit Kenang Jasa Pejuang Negara

By 24 Ogos 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Daniel Jong/ Budin Gumbang (Sarawak)

KAPIT, 24 Ogos (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Bahagian Kapit di Tugu Bujang Berani berlangsung penuh istiadat, dengan kehadiran hampir 200 tetamu bagi mengenang jasa dan pengorbanan wira negara, hari ini.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Perajurit Tanah Air sebelum suasana hening menyelubungi tapak majlis apabila hadirin bertafakur sebaik sahaja tiupan paluan akhir atau ‘Last Post’ dibunyikan sebagai tanda penghormatan kepada wira negara yang gugur demi tanah air.

Jefferson menyampaikan ucapan perasmian Hari Pahlawan.

Bagi mengenang jasa para pahlawan, upacara peletakan bunga di Tugu Bujang Berani dilakukan sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah kehilangan nyawa demi keamanan negara.

Dalam ucapannya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata Hari Pahlawan bukan sahaja didedikasikan untuk mengenang jasa anggota tentera dan polis, malah turut menjadi wadah menghargai pengorbanan penjawat awam, pasukan sukarelawan keselamatan dan orang awam yang telah berganding bahu mempertahankan kedaulatan negara.

‘’Kita tidak boleh sesekali melupakan pengorbanan mereka malah harus menjadi ingatan sepanjang masa agar ia tidak dilupakan pada masa akan datang,” katanya semasa merasmikan sambutan berkenaan.

Stephen menyampaikan ucapan di Sambutan Hari Pahlawan.

Sementara itu, Pegawai Tugas Khas Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw menyatakan kewujudan Sarawak Rangers dan Iban Trackers adalah simbol keberanian yang harus dibanggakan oleh rakyat Sarawak.

“Kita wajar mencontohi ketegasan dan disiplin mereka agar menjadi semangat kepada semua khususnya generasi sedia ada dalam menghadapi apa sahaja cabaran yang akan datang,’’ ujarnya.

Stephen turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Sarawak dan Persatuan Veteran ATM (PVATM) Cawangan Kapit atas kesungguhhan dalam menjaga kebajikan para veteran di sekitar Kapit.

Unggek Antin, salah seorang penerima PGB kerana keberaniannya menentang komunis.

“Waris dan ahli keluarga perlu tahu kisah sebenar perjuangan agar lahir semangat syukur dan rasa bangga kebanggaan terhadap pengorbanan pejuang terdahulu dan ia juga perlu terus disampai atau dikongsikan kepada generasi muda,” menurut Unggek Antin, 80, dari Kampung Kemarau yang merupakan penerima Pingat Gagah Berani (PGB) kerana keberaniannya menentang komunis di Sungai Kedup, Bintangor pada tahun 1971.

Dunging Serit, mantan Pengarah JHEV Sarawak

Sementara itu, mantan Pengarah JHEV Sarawak, Leftenan Kolonel (B) Dunging Serit pula menekankan kepentingan memelihara hubungan sesama veteran.

“Hubungan silaturahim mesti dipelihara dan kita perlu sentiasa bersedia menghulurkan bantuan apabila diperlukan demi kebajikan para veteran,” tambahnya.

Hadir sama Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Pengarah JHEV Sarawak Mejar Steven Kadir, Pengerusi PVATM Cawangan Kapit Kaunselor Martin Bilun, Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu serta para ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan waris veteran.

-RJ-

Tinggalkan komen anda