
Laporan/foto : Sophia Aren Erik/Mohammad Nazeri Arif/ Kesai Andi (Sarawak)
TATAU, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Program NADI Mahir telah membuka ruang kepada Komuniti MADANI khususnya golongan wanita yang merupakan ahli Komuniti MADANI Pekan Tatau mempelajari kemahiran asas jahitan bagi meningkatkan kebolehan diri serta menjana pendapatan sampingan.

Ahli Komuniti MADANI Pekan Tatau mempelajari cara membuat pola jahitan.
Program yang berlangsung di sini kelmarin memberi penekanan terhadap ilmu praktikal jahitan asas seperti mengukur, memotong dan teknik jahitan mudah yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian.
Seorang ahli Komuniti MADANI Pekan Tatau, Lee Siew Yung, 47, ketika ditemu bual berkata penyertaannya dalam program itu memberi semangat baharu untuk beliau mengasah kemahiran diri dalam bidang jahitan.
“Ini adalah peluang untuk saya menimba pengalaman baharu dan menambah kemahiran yang bukan sahaja bermanfaat untuk saya sendiri, malah membuka peluang kepada saya untuk mencuba bidang perniagaan kecil-kecilan,” ujarnya lagi.
Manakala bagi Brimas Bagi, 52, penyertaan dalam program berkenaan membuktikan bahawa kemahiran jahitan masih relevan untuk kehidupan seharian terutamanya bila ada keperluan.

Lee (kiri) ingin mencuba bidang jahitan untuk perniagaan kecil-kecilan.
“Saya melihat kemahiran ini sebagai sesuatu yang praktikal dan boleh dipelajari oleh pelbagai peringkat umur dan saya positif bahawa melalui latihan yang berterusan, ia boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan,” katanya.
Program NADI Mahir dijangka dapat memperkasakan lebih ramai Komuniti MADANI luar bandar dengan kemahiran praktikal, sekali gus menyokong usaha kerajaan memperkukuh ekonomi keluarga dan meningkatkan kualiti hidup.
-RJ-





