
Laporan/foto: Shalene Selva Segar
GEORGE TOWN, 27 Ogos (MalaysiaAktfi) – Hari Keluarga Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datok Keramat meriah dengan kehadiran lebih 200 peserta di Balai Rakyat Jalan Patani, kelmarin.

Taklimat disampaikan oleh Wakil Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Dun Datok Keramat.
Program bertemakan ‘Our Family, Our Strength’, padat dengan pengisian aktiviti riadah bersama keluarga selain memberi ruang kepada masyarakat untuk memperoleh maklumat penting mengenai pendidikan, kesihatan, simpanan serta sokongan agensi kerajaan.
Antara pengisian menarik termasuk acara sukaneka berkeluarga, cabutan bertuah, serta pameran agensi kerajaan yang memberi maklumat tentang pendidikan, kesihatan, simpanan masa depan anak-anak dan program sokongan komuniti.
Seorang peserta Noraini Ahmad berkata penyertaan bersama tiga orang anaknya itu memberi peluang untuk mereka meluangkan masa berkualiti sebagai keluarga.

Sesi konsultansi bersama pengunjung yang hadir ke reruai pameran agensi kerajaan.
“Biasanya anak-anak sibuk dengan gajet dan sekolah, saya pula terikat dengan tuntutan kerja, jadi program ini sangat bermanfaat untuk eratkan hubungan kekeluargaan.
“Saya juga ambil kesempatan berkunjung ke booth agensi kerajaan untuk dapatkan maklumat tentang pendidikan dan simpanan masa depan anak-anak,” katanya.
Pendekatan itu membuktikan bahawa keluarga bukan hanya asas kebahagiaan rumah tangga, tetapi juga tunjang kepada pembinaan komuniti yang harmoni dan inklusif.
-RI





