
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 27 Ogos (MalaysiaAktif) – Pasukan Bicara Berirama Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun sekali lagi membuktikan dominasi mereka apabila muncul Johan Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Rendah buat kali ketiga berturut-turut.
Menurut Guru Besar Adam Abd Rahim pencapaian dalam pertandingan yang diadakan bersempena Karnival Bahasa Melayu Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025 itu sebagai kesinambungan daripada sejarah gemilang sekolah dalam bidang Bicara Berirama.

Awang Marten (tengah) bersama Adam (kanan) dan pasukan SK Sungai Bedaun semasa Majlis Penyampaian Hadiah.
“Pasukan ini juga sememangnya digeruni pihak lawan setiap kali pertandingan diadakan di peringkat negeri dan kebangsaan kerana pernah menduduki tempat keempat pada 2022 di Johor selain johan di peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2018, 2019 dan 2022.
“Malah pada tahun 2023, sekolah ini berjaya mengharumkan nama Labuan di pentas kebangsaan apabila muncul Johan Pertandingan Bicara Berirama NURI MADANI Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Kuala Lumpur,” katanya semasa ditemui media semalam.
Beliau turut menghargai komitmen semua tenaga pengajar yang bertungkus lumus melatih semua murid yang menganggotai kumpulan bicara berirama SK Sungai Bedaun.
“Kejayaan pasukan ini tidak mungkin tercapai tanpa sentuhan bimbingan guru-guru yang berdedikasi iaitu Shafawati Seliat, Nurdahlia Ankujau, Nadiah Mohd Ali dan Mohammad Iqbal Asjad Zamri.

Awang Marten menyampaikan hadiah Konduktor Terbaik kepada Natanel (paling kanan).
“Komitmen dan pengorbanan mereka dalam melatih murid sejak awal ternyata membuahkan hasil yang amat membanggakan seluruh warga sekolah,” katanya.
Selain itu, Konduktor Pasukan Bicara Berirama SK Sungai Bedaun, Natanel Achang Henry turut diumumkan sebagai Konduktor Terbaik.
Dengan kemenangan berganda itu, pasukan SK Sungai Bedaun akan membawa cabaran Labuan ke Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2025 yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya pada 22 hingga 24 September ini.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan Awang Marten Abdul Rahman.
-RI





