
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Kolej Komuniti Ampang
AMPANG, 28 Ogos (MalaysiaAktif) – Bermula dengan minat membaiki telefon, graduan Kolej Komuniti Ampang, Noor Azree Aiman Noor Azrin, kini bergelar usahawan berjaya apabila menerima Anugerah Usahawan Kolej Komuniti (AUKK) pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen BACC, kelmarin.
Noor Azree, yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASZR Legacy, sebuah syarikat perniagaan berasaskan mobile repairing, berjaya mengembangkan operasi dengan membuka dua lagi cawangan baharu di Taman Melawati dan Puchong sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada belia tempatan.

Noor Azree menyerahkan sumbangan kepada Pertubuhan Muafakat Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia.
Beliau berkata kejayaan itu tidak dicapai dengan mudah, sebaliknya berasaskan latihan keusahawanan dan bimbingan sistematik yang diterimanya di Kolej Komuniti Ampang, yang bukan sahaja membentuk kemahiran teknikal malah menambah keyakinan untuk mengurus perniagaan sendiri.
“Saya mahu menjadi inspirasi kepada pelajar lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bahawa kemahiran yang diperoleh boleh diterjemahkan kepada perniagaan berjaya, bukan sekadar kerjaya makan gaji,” kata pemilik Diploma In Mobile Technology di Kolej Komuniti Ampang ini.
Sebagai tanda penghargaan kepada institusi itu, beliau turut menyumbangkan sebanyak RM1,000 kepada Pertubuhan Muafakat Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia, yang diserahkan sendiri kepada Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti pada majlis berkenaan.
Menurut beliau, keuntungan bukanlah matlamat tunggal, sebaliknya kejayaan itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lepasan TVET bahawa kemahiran yang diperoleh boleh diterjemahkan kepada perniagaan berjaya.
Kejayaan Noor Azree sekali lagi membuktikan bahawa pendidikan TVET mampu melahirkan usahawan muda berdaya saing, yang bukan sahaja membina legasi peribadi tetapi turut menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
-RI





