
Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 28 Ogos (MalaysiaAktif) – Suasana di Kampung Orang Asli (KOA) Kempas Menang, di sini bertukar meriah apabila penduduk berkumpul beramai-ramai menyaksikan tayangan Wayang Pacak Kenegaraan anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Tinggi, malam tadi.
Filem patriotik Mat Kilau yang ditayangkan bukan sekadar hiburan, malah dilihat berjaya meniup semangat perjuangan dan cinta akan tanah air dalam kalangan masyarakat setempat.

Gimik perasmian susun suai gambar.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Pembangunan Kampung Orang Asli (JPPKOA) Kempas Menang, Halim Ibrahim berkata program itu memberi pengajaran penting kepada penduduk mengenai pengorbanan pejuang terdahulu.
“Masyarakat dapat menghayati semangat kemerdekaan melalui kisah perjuangan orang lama. Ia mengingatkan kita bahawa kemerdekaan ini tidak datang dengan mudah,” katanya kepada MalaysiaAktif.
Penduduk kampung, Rozy Daud, 60, menyifatkan tayangan tersebut mengembalikan nostalgia zaman kecilnya apabila menonton wayang pacak bersama keluarga dan jiran tetangga.

Antara penduduk KOA Kempas Menang yang hadir menyaksikan tayangan.
“Seronok rasanya dapat berkumpul ramai-ramai. Anak muda pun bersemangat dan berharap program seperti ini diadakan lagi,” katanya.
Acara turut dimeriahkan dengan kuiz kenegaraan, cabutan bertuah serta edaran Jalur Gemilang dalam usaha menyemarakkan kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
Program berkenaan berjaya menghidupkan suasana bulan kemerdekaan, seiring tema sambutan tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’.
-RI





