
Laporan/foto: Mohd Munir/ Bolhan Basah (Sarawak}
KUCHING, 28 OGOS (MalaysiaAktif) – Perahu tambang sememangnya dikenali sebagai antara medium pengangkutan sungai di Sarawak bahkan ia juga merupakan penghubung kehidupan, ekonomi kecil dan cerita rakyat yang sarat dengan nilai tradisi dan sejarah.
Bagi membawa nilai tambah kepada sektor warisan dan pelancongan pengangkutan sungai yang menjadi daya tarikan utama di tebingan Sungai Kuching itu, Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) telah menghiasi perahu berkenaan dengan pantun di bahagian bumbung sebagai usaha .
Sebanyak 16 perahu tambang dihiasi dengan pantun empat kerat bertemakan perpaduan, nasihat dan kasih kepada warisan bangsa hasil tanggungjawab sosial korporat (CSR) BPHB yang bertujuan memartabatkan pantun sebagai khazanah agung bangsa Melayu.

Dr. Sabariah dan yang lain bersama perahu tambang yang tertulis bait-bait pantun di bumbung perahu.
“Ini merupakan idea BPHB untuk terus berkolaborasi dengan pengusaha perahu tambang, sekali gus menjadikan pengangkutan ini sebagai kanvas bergerak selain bagi menambah nilai ekonomi dan sosial mereka,” kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port, Ruslan Abdul Ghani.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan Pengurus Besar Group Stakeholder Relations Bintulu Port Maslihah Tioh pada Majlis Perasmian Siri Pantun Bersama Penambang Sungai Sarawak di sini, kelmarin.
Mengimbas kembali, aspirasi asal mengangkat semula nilai perahu tambang dan elemen warisan lain di Kuching merupakan cetusan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menjadi penggerak utama penubuhan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) sejak 2018.
“Aspirasi ini membayangkan Kuching sebagai destinasi pelancongan utama, sekurang-kurangnya di rantau ini kerana semua infrastrukturnya sudah tersedia,” kata Penasihat OKSHE Datuk Dr. Sabariah Putit.

Dr. Sabariah menyampaikan ucapan mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Wakil pengusaha perahu tambang, Haili Birin, 60, pula berkata beliau dan rakan pengusaha berterima kasih kepada BPHB yang memelihara kebajikan pengusaha perahu tambang dan memberi nilai tambah untuk menarik lebih ramai penumpang terdiri pelancong.
Usaha BPHB bersama pengusaha perahu tambang Sungai Sarawak wajar dipuji dan dicontohi agensi kerajaan, syarikat korporat dan organisasi yang lain kerana warisan sedia ada tidak sekadar disimpan dalam lipatan sejarah tetapi dihidupkan kembali dalam jiwa masyarakat.
-RJ-





