
Laporan/foto: Dayang Siti Nurzuhairah
BACHOK, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Suasana di Dataran Pantai Irama, di sini meriah apabila 68 kanak-kanak Tabika dan Taska Perpaduan sekitar Bachok tampil ceria menyertai acara ‘Catwalk Merdeka’ sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Jajahan Bachok 2025, semalam.

Si cilik Perpaduan untuk acara ‘Catwalk Merdeka’ sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Jajahan Bachok Tahun 2025.
Acara terbuka itu menyaksikan si cilik beraksi di pentas dengan busana bertemakan Jalur Gemilang yang digayakan penuh bangga.
Penyertaan melibatkan tujuh Tabika Perpaduan iaitu Pauh Lima, Sri Gunung, Teluk Mesira, Alor Ganu, Bandar Bachok, Sungai Dua dan Kuau serta Taska Perpaduan Pak Badol.
Wakil guru Tabika Perpaduan Siti Aishah Yajid berkata program seumpama itu memberi pengalaman berharga di luar bilik darjah kepada kanak-kanak selain berupaya mengukuhkan keyakinan diri.
“Ini bukan sekadar peragaan pakaian, tetapi satu pendedahan penting untuk menanamkan semangat cintakan negara sejak kecil. Mereka seronok, bebas bergerak dan lebih yakin apabila diberi ruang sebegini,” katanya.

Suasana riuh dengan sorakan daripada ibu bapa pelajar sebelum acara bermula.
Acara turut mendapat sorakan padu daripada ibu bapa dan pengunjung, sekali gus menjadi tarikan utama sambutan Bulan Kebangsaan di jajahan ini dengan gabungan elemen pendidikan, patriotisme dan komuniti dalam suasana santai tetapi bermakna.
‘Catwalk Merdeka’ membuktikan semangat kebangsaan bukan hanya milik orang dewasa, malah turut membara dalam jiwa anak kecil yang bakal menjadi pewaris masa depan negara.
-RI





