
Laporan/foto: Faizal Nazmi/Fakruddin Rashid (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 29 Ogos (MalaysiaAktif) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat kejutan apabila hadir meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2025, di sini hari ini.

PM Anwar ketika menyantuni peserta human graphic oleh 2,000 pelajar dari 50 buah sekolah di Selangor pada raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2025, di Putrajaya hari ini.
Anwar diiringi Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Julina Johan meluangkan masa kira-kira 20 minit dalam lawatannya itu.
Berbaju Melayu rona biru lembut, Anwar beramah mesra dengan pasukan human graphic membabitkan 2,000 pelajar dari 50 sekolah di Selangor yang turut mempersembahkan empat lagu koir iaitu Bapak Mek Datang, Dia Datang, Ewa Bule dan Sayang Kinabalu serta lagu tema HKHM 2025, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, yang juga dipilih sebagai tema rasmi sambutan tahun ini.
Lawatan pemimpin nombor satu negara itu menjadi cerminan kepada tema ‘Rakyat Disantuni’, apabila Anwar dalam kesibukan tugasnya tetap turun padang bersama rakyat yang terlibat menjayakan sambutan tersebut.

Perbarisan sambutan Hari Kebangsaan 2025 dijangka sebagai yang terbesar membabitkan 81 kontinjen menerusi 14,010 peserta.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 itu bakal berlangsung Ahad ini bermula tujuh pagi dengan acara menaikkan Jalur Gemilang oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, bacaan lafaz ikrar dan rukun negara serta nyanyian lagu Negaraku.
Ia kemudian diteruskan dengan perbarisan melibatkan 14,010 orang daripada 81 kontinjen berbanding 57 kontinjen pada 2024, terbesar dalam sejarah sambutan acara berkenaan.
Turut dijangka menarik perhatian pengunjung yang bakal memenuhi 8,000 tempat duduk bertingkat adalah 116 aset haiwan selain persembahan oleh 21 kumpulan pancaragam yang akan mempersembahkan pelbagai irama termasuk berunsur patriotisme.
-RI





