Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Tidak Kompromi Ajaran Sesat – MB

By 29 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan ajaran sesat seperti yang tular di Parit Raja, Batu Pahat, baru-baru ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan untuk segera mengambil tindakan penguatkuasaan dan siasatan terperinci mengikut undang-undang.

Tular satu video di media sosial memaparkan aktiviti berkaitan ajaran sesat yang berlaku di Parit Raja, Batu Pahat baru-baru ini.

“Segala bentuk khurafat, tahyul, pemujaan salah atau ritual yang bercanggah dengan syariat Islam serta aktiviti yang merendahkan agama adalah dilarang sama sekali dan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut merujuk titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengingatkan umat Islam di Johor agar berpegang teguh kepada akidah sebenar, selain titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan penguatkuasaan dan pendidikan bagi mengekang ajaran sesat.

“Islam adalah agama yang menekankan keharmonian, kedamaian dan saling menghormati. Justeru, kerajaan negeri akan terus memelihara kedaulatan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas Onn Hafiz.

Beliau menyeru seluruh Bangsa Johor, khususnya penghulu, ketua masyarakat dan penggerak masjid berganding bahu memastikan ajaran sesat dihentikan sepenuhnya serta memperkukuh aktiviti kerohanian, pendidikan dan kebudayaan yang selari dengan ajaran Islam.

-RI

Tinggalkan komen anda