Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Rakyat Diseru Meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan

By 29 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Memi Yusoff/Norshazila Ahmad (Selangor)

SHAH ALAM, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyeru rakyat Selangor memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini malam esok.

Barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama melafazkan ikrar Rukun Negara sempena Program Syarahan Kebangsaan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor hari ini.

Beliau berkata sambutan itu bukan sahaja meraikan ulang tahun kemerdekaan negara, malah menjadi simbol kesatuan rakyat dan kekuatan Selangor sebagai negeri maju dan berdaya saing.

“Sambutan ini menandakan kecintaan kita kepada tanah air dan pada masa sama mencerminkan kekuatan serta kepelbagaian masyarakat Selangor.

“Ia akan diwarnai dengan pelbagai aktiviti patriotik termasuk perarakan pasukan beruniform yang melibatkan ribuan peserta,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Kebangsaan 2025, di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.

Amirudin berkata sambutan itu dijangka menarik kehadiran antara 30,000 hingga 50,000 pengunjung bergantung kepada keadaan cuti panjang dan sebagainya.

“Mengikut tempoh lima tahun sebelum ini, jumlah yang datang biasanya sangat tinggi kerana peserta barisan sahaja mencecah hampir 5,000 hingga 6,000 orang,” katanya.

Amiruddin (tengah), bersama Datuk Dr. Ahmad Fadzli (kiri) dan Datuk Salim (Kanan) bersama jemputan yang hadir bersama-sama menyanyikan lagu Jalur Gemilang dengan penuh semangat.

Katanya Syarahan Kebangsaan yang diadakan buat pertama kali juga akan menghimpunkan seluruh kepimpinan negeri, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta masyarakat awam sebagai platform menyampaikan mesej perpaduan dan kesiapsiagaan menuju masa depan negara.

“Kebiasaannya saya berucap pada malam ambang kemerdekaan tetapi kali ini kita adakan syarahan dua hari lebih awal agar masyarakat dapat memberi tumpuan penuh kepada sambutan malam esok.

“Mesej utama saya ialah kita kini dalam fasa menghitung detik menuju 100 tahun kemerdekaan negara pada tahun 2057. Selangor mesti terus melangkah ke hadapan sebagai negeri kompeten, progresif dan penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda