
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/JIM Labuan
LABUAN, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan seorang wanita warganegara Filipina dan mengeluarkan enam saman semasa Op Gegar serta Op Kutip pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Seorang perempuan warganegara Filipina ditahan kerana dipercayai telah melanggar Akta Imigresen.
Menurut Pengarah JIM Labuan Raymond Entalai, enam Borang Imm.29 iaitu Saman Kepada Saksi telah dikeluarkan manakala wanita berkenaan ditahan kerana dipercayai telah melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia.
“Seramai 78 orang telah diperiksa yang terdiri daripada 51 orang warganegara Malaysia, 25 orang warganegara Filipina dan dua orang warganegara Korea.

Kaedah operasi dan Omni Present meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu-isu pelanggaran undang-undang keimigresenan.
“JIM telah memeriksa enam buah premis pusat hiburan dan satu lokasi di sekitar Pasar Sungai Keling melalui dua siri operasi dan Omni Present iaitu Op Gegar dan Op Kutip,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, JIM Labuan komited dan tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, menyalahgunakan pas dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral di negara ini.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.
-RI





