Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Detik 12 Malam Gema Laungan “Merdeka!” di Paya Jaras

By 31 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Sazarina/Hamzani Zen (Petaling)

SUNGAI BULOH, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Ribuan penduduk sekitar Paya Jaras berhimpun dalam suasana penuh meriah bagi meraikan Sambutan Ambang Merdeka 2025, sempena Program JIWA@Komuniti MADANI Kampung Paya Jaras Tengah Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2025, di sini malam tadi.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Majlis Zon 23 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Anuar Abd Rahman yang merasmikan sambutan tersebut.

Ketua Komuniti MADANI Kampung Paya Jaras Tengah, Hassim Awang ketika menyampaikan ucapan

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar perpaduan rakyat terus dipelihara demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Kemerdekaan bukan sekadar sambutan tahunan tetapi tanggungjawab kita semua untuk mengekalkan keharmonian. Inilah roh Malaysia MADANI yang harus kita hayati bersama,” katanya.

Ketua Komuniti MADANI Kampung Paya Jaras Tengah, Hassim Awang, berkata laungan merdeka pada malam itu melambangkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.

“Laungan merdeka pada malam ini adalah simbol kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia. Ia menyatukan kita tanpa mengira bangsa dan agama, serta mengingatkan kita tentang pengorbanan pejuang terdahulu,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Petaling, Ruddyansjah Mahtar Hams, pula menekankan kepentingan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai manifestasi semangat patriotisme rakyat.

“Apabila setiap rumah mengibarkan Jalur Gemilang, ia melambangkan kesatuan dan kesetiaan rakyat. Bendera bukan sekadar kain yang berkibar tetapi simbol semangat perjuangan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Antara peserta Sambutan Ambang Merdeka 2025/

Tepat jam 12.00 tengah malam, suasana menjadi penuh bersemangat apabila seluruh hadirin bangun dan melaungkan perkataan keramat “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” sebanyak tujuh kali, disusuli dengan gimik Ambang Merdeka, nyanyian lagu-lagu patriotik termasuk lagu tema HKHM 2025, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” serta lafaz ikrar Rukun Negara.

Jalur Gemilang yang dikibarkan oleh penduduk menyemarakkan lagi suasana penuh kebanggaan dan kesyukuran.

Program diteruskan dengan penyampaian hadiah, cabutan bertuah, edaran bahan penerbitan, sesi bergambar dan diakhiri dengan jamuan rakyat yang menutup tirai sambutan Ambang Merdeka dengan penuh mesra dan harmoni.

-RI

Tinggalkan komen anda