
Laporan / foto : Aini Ellah (Sarawak)
SARIKEI, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Ribuan rakyat pelbagai kaum membanjiri Kompleks Sukan Integrasi Kampung Seberang Sarikei, malam semalam bagi meraikan Sambutan Ambang Hari Kebangsaan peringkat negeri Sarawak yang berlangsung penuh meriah, berwarna-warni dan sarat dengan semangat patriotisme.
Acara bermula seawal jam 8 malam dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan, nyanyian patriotik dan persembahan pentas oleh artis popular tanah air antaranya Nai Dinamik, Bob dan Syura malah penonton juga terpukau dengan persembahan tarian berirama Jalur Gemilang.

Kehadiran begitu ramai pengunjung memeriahkan Sambutan Ambang hari Kebangsaan.
Suasana kemeriahan semakin memuncak apabila tembakan bunga api menerangi langit Sarikei tepat jam 10.30 malam, disambut dengan sorakan gemuruh orang ramai.
Acara turut diserikan dengan persembahan penutup tarian Poco-Poco beramai-ramai, yang mengajak tetamu kehormat dan pengunjung menari bersama dalam suasana penuh mesra, ceria dan harmoni.
Sementara itu, Ketua Kampung Ahmad Ain menyatakan kesyukurannya kerana Sarikei dipilih sebagai tuan rumah perayaan tahun ini.

Ahmad berbangga Sarikei tuan rumah kali ini.
“Kami rakyat Sarikei amat berbangga kerana daerah ini diberi penghormatan menjadi lokasi sambutan kali ini dan kehadiran begitu ramai masyarakat dari daerah lain juga memberi makna besar bahawa semangat merdeka terus hidup dalam jiwa rakyat,” katanya.
Turut berkongsi pandangan, Ketua Kampung Sehon Bujang, 75, yang hadir dengan menggunakan kerusi roda semata-mata untuk memberi menyokong perayaan bersejarah ini.

Sehon walaupun telah berusia, tetap hadir sebagai tanda sokongan kepada Sambutan Ambang Hari Kebangsaan.
“Sarikei sudah lama tidak mengadakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak dan kehadiran saya pada malam ini adalah sebagai tanda sokongan dan rasa cinta kepada tanah air,” ujarnya dengan penuh semangat.
-RJ-





