
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATU CAVES, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Rakyat perlu sentiasa bersyukur kerana Malaysia kekal aman, bebas dan merdeka meskipun masih berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup.

Aksi Amirudin ketika gimik perasmian Kejohanan Badminton Piala Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keadaan negara yang stabil memberi rakyat ruang hidup selesa berbanding negara lain yang berperang dan berdepan krisis makanan.
“Kalau kita banding dengan negara lain, ada yang bergolak, ada yang tak cukup makanan.
Kita di sini walaupun ada cabaran, kerajaan tetap cuba tangani sedikit demi sedikit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Badminton Piala Datuk Seri Amirudin Shari di SLK Sport Centre, di sini hari ini.

Amirudin menyampaikan cenderahati kepada pasukan jemputan yang menyertai Kejohanan Badminton Piala Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Amirudin, sebagai contoh, kerajaan mengadakan Karnival 100 JER (Jualan Ehsan Rahmah) pada Isnin di Padang Batu Caves sempena pemberian tunai RM100 yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun penerima.
“Dengan nilai itu, rakyat masih boleh membeli 15 hingga 20 barangan keperluan asas di pasar awam atau kedai terpilih,” katanya.
-RI





