Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Detik 12 Malam Mengimbau Nostalgia Ambang Kemerdekaan di Dataran Merdeka

By 31 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurfaizah Adnan/Muhaimin Musa

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Sambutan Ambang Merdeka 2025 di Dataran Merdeka malam tadi berlangsung penuh meriah dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung yang membanjiri kawasan ikonik itu bagi meraikan detik bersejarah sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68.

Ketibaan Datuk Bandar Kuala Lumpur ke Ambang Merdeka 2025.

Acara yang bermula sejak pukul 5 petang menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, persembahan artis tanah air serta pertunjukan cahaya dan bunga api yang memukau tepat detik 12.00malam.

Sorakan “MERDEKA!” bergema tiga kali sebagai simbolik menyambut Hari Kebangsaan 31 Ogos.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, wakil agensi kerajaan serta barisan artis popular tanah air seperti Bella Astillah, Nadeera Zaini, Hael Husaini, Evon Song dan ramai lagi.

Kehadiran orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelancong asing, menyerikan lagi suasana dengan kibaran Jalur Gemilang di segenap sudut dataran.

Persembahan pembukaan tarian tradisional.

Salah seorang pengunjung, Ahmad Firdaus, 32, berkata beliau berasa teruja dapat meraikan Ambang Merdeka bersama ribuan rakyat Malaysia.

“Setiap tahun saya hadir ke Dataran Merdeka kerana ia memberi semangat patriotik dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Program Ambang Merdeka itu merupakan acara tahunan yang diadakan menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, sebagai simbol penyatuan rakyat berbilang kaum dalam meraikan kemerdekaan negara.

-RI

Tinggalkan komen anda