
Laporan/foto: Norfazila Razali
KUALA LUMPUR, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025, Program Larian Merdeka anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 5 dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Batu serta Masjid Al-Zakirin, Taman Wilayah Selayang Parlimen Batu telah berlangsung dengan penuh meriah pagi tadi.

Suasana sekitar pelepasan Larian Merdeka di Masjid Al-Zakirin.
Program berkenaan menghimpunkan lebih 400 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk belia, komuniti setempat serta kepimpinan masyarakat.
Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
“Penganjuran Larian Merdeka bukan sahaja memberi manfaat dari aspek kesihatan dan kecergasan, malah turut memperkukuh semangat kebersamaan serta perpaduan masyarakat majmuk di Parlimen Batu”.

Ucapan perasmian oleh Ahli Parlimen Batu.
“Program seperti ini menjadi simbol kesatuan rakyat Malaysia. Kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama di Taman Wilayah Selayang membuktikan bahawa kemerdekaan masih segar dan terus hidup dalam diri kita semua.” katanya ketika ditemui selepas turut serta dalam larian tersebut.
Program diserikan dengan pelbagai pengisian sampingan termasuk aktiviti pengibaran Jalur Gemilang oleh para peserta sepanjang larian.
Suasana menjadi lebih meriah dengan laungan “MERDEKA!” yang bergema di perkarangan Masjid Al-Zakirin, mencetuskan aura patriotik dalam kalangan hadirin.
-RI





