
Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin
BACHOK, 31 Ogos (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, Komuniti MADANI Alor Ganu hari ini menganjurkan Program JIWA@Komuniti MADANI yang menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada ahli komuniti, masyarakat setempat dan belia.
Kemuncak program menyaksikan agihan 68 bakul makanan kepada ibu tunggal dari enam kampung iaitu Kampung Seneng Hulu, Seneng Hilir, Seneng Tengah, Gelong Badak, Alor Ganu dan Dangar Tinggi.

Kerjasama adik-beradik Ketua Komuniti MADANI Alor Ganu, Alias Draman dan Pengerusi JPKKP , Mazlan Draman dalam menjayakan program.
Ketua Komuniti MADANI Alor Ganu, Alias Deraman, berkata inisiatif itu selaras dengan tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ serta menjadi simbol kepedulian masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
“Rakyat di akar umbi disantuni dengan mengambil peduli kesusahan mereka. Bantuan berupa barangan keperluan harian ini diharap dapat meringankan sedikit beban perbelanjaan,” katanya kepada MalaysiaAktif.
Seorang penerima bantuan, Zaizah Che Mat, 74, menzahirkan rasa syukur atas sumbangan tersebut.
“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kerana bantuan ini sangat membantu, terutama ketika keadaan ekonomi yang mencabar,” ujarnya.

Zaizah bersyukur menerima bantuan ini.
Selain agihan bakul makanan, program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka kanak-kanak dan dewasa, pertandingan pakaian berhias merdeka, sukan rakyat ‘bidah’, bola sepak tujuh sebelah, pemeriksaan kesihatan percuma serta Pertandingan Kreatif Selfie Merdeka.
Kepelbagaian aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat, malah memupuk semangat patriotisme dan menceriakan sambutan. Kehadiran generasi muda pula menyerlahkan komitmen mereka dalam mengisi kemerdekaan dengan sukarelawan, kreativiti dan kesukanan.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya menzahirkan penghayatan sebenar erti kemerdekaan yang bukan hanya sekadar laungan “Merdeka!”, tetapi melalui tindakan menyantuni rakyat, memperkukuh perpaduan dan meraikan kepelbagaian.
-RI





