Skip to main content
Berita TempatanSabah

Flag Relay Run 2025 Semarakkan Semangat Kemerdekaan di Nabawan

By 1 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)

NABAWAN, 01 Sept (MalaysiaAktif) – Suasana sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah semakin dirasai di daerah ini apabila lebih 100 peserta pelbagai lapisan masyarakat menyertai Flag Relay Run 2025 yang berlangsung meriah pada Sabtu.

Acara tahunan anjuran serentak di seluruh daerah di negeri Sabah itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan menerusi larian berganti-ganti sambil membawa bendera sebagai simbol penghormatan serta kecintaan terhadap tanah air.

Fellyntia ketika menyempurnakan flag off Flag Relay Run 2025 Daerah Nabawan.

Penolong Pegawai Daerah Nabawan, Fellyntia Sungkang berkata, penganjuran program itu bukan sahaja sebagai aktiviti riadah, malah menjadi platform menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya generasi muda.

“Penyertaan yang begitu memberangsangkan ini jelas menunjukkan masyarakat luar bandar juga peka dan bersama-sama menghayati makna Hari Sabah dan Hari Kemerdekaan.

“Acara ini juga membawa simbolik perjuangan tokoh-tokoh terdahulu yang berdepan pelbagai cabaran demi mencapai kemerdekaan negeri Sabah.

“Semangat juang mereka perlu kita contohi. Rasa cinta kepada negeri mesti ditanam dalam setiap jiwa agar kita sama-sama dapat memajukan diri serta memberi sumbangan kepada pembangunan Sabah yang tercinta,” katanya ketika menyempurnakan pelepasan Flag Relay Run 2025 Nabawan di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan.

Sementara itu, peserta berusia 21 tahun dari Kampung Empat, Mohd Shazwan, melahirkan rasa teruja kerana berpeluang menyertai acara berkenaan buat kali pertama.

“Suasana memang meriah dan semua orang bersemangat. Saya bangga dapat sama-sama membawa bendera dan berkongsi semangat patriotik dengan kawan-kawan,” kongsinya.

Beliau turut menyifatkan program seumpama itu sebagai wadah mempererat hubungan sesama penduduk.

Antara peserta larian membawa bendera berganti-ganti dari Daerah Nabawan ke Daerah Sook.

“Acara ini bukan saja tentang larian, tetapi juga mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung. Saya harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Bagi peserta dari Kampung Murni C, Rahimin Masuning, 46, Flag Relay Run menjadi medium terbaik menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Penglibatan masyarakat dalam program berunsurkan riadah juga dapat memupuk kesedaran bahawa menjaga kesihatan adalah tanggungjawab bersama demi melahirkan komuniti yang lebih cergas dan sejahtera,” katanya.

Flag Relay Run 2025 dijangka menjadi acara tahunan yang terus memperkukuh semangat kenegaraan dan perpaduan rakyat Sabah, sejajar aspirasi Malaysia MADANI.

-RJ-

Tinggalkan komen anda