
Laporan/foto: Awangku Marzuki Ag Latip/Amir Kanje (Tawau)
TAWAU, 01 Sept (MalaysiaAktif) – Karnival Merdeka Fun Run 7KM yang julung kali dianjurkan di Kampung Budaya Pasir Putih berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 200 peserta, termasuk dari luar daerah, sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Menurut Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, penganjuran sulung itu berjaya menarik minat penyertaan luar yang tinggi, sekali gus membuktikan potensi besar kawasan berkenaan sebagai pusat aktiviti komuniti dan riadah.

Andi Muhammad Suryady merasmikan Karnival Merdeka Fun Run 7KM di Kampung Budaya Pasir Putih, Tawau.
“Acara ini bukan sahaja mengangkat nama Kampung Budaya Pasir Putih ke peringkat lebih tinggi, malah mengukuhkan semangat perpaduan rakyat bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Sebanyak 80 peratus daripada peserta terdiri daripada penduduk luar kawasan, termasuk dari Semporna dan Kalabakan,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sini pada Sabtu.
Beliau turut mencadangkan agar karnival ini diteruskan pada tahun hadapan dengan penglibatan lebih meluas melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab belia, dan agensi kerajaan.
“Dengan promosi dan hebahan yang lebih mantap, saya yakin sambutannya mampu menjadi lebih meriah sebagaimana acara maraton tahunan yang kini menarik ribuan peserta,” ujarnya.

Persembahan kebudayaan memeriahkan karnival sambil menampilkan warisan seni tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, termasuk Jabatan Penerangan, penaja dan semua peserta yang telah menjayakan program tersebut.
“Keterlibatan ini membuktikan kesatuan dan perpaduan rakyat, yang menjadi kekuatan utama untuk kita terus mengekalkan keamanan negara,” katanya.
Karnival Merdeka Fun Run merupakan salah satu inisiatif komuniti setempat dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan melalui pendekatan gaya hidup sihat dan penyertaan inklusif.
-RJ-





