Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Lindungi Belia: Katakan Tidak Pada Dadah, Ya Pada Internet Selamat

By 2 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar

BACHOK, 2 Sep (MalaysiaAktif) – Usaha memerangi dadah serta meningkatkan kesedaran masyarakat diperhebat menerusi program turun padang Info on Wheels (IOW) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Bachok dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar DUN Tawang.

Program tersebut memberi pendedahan terus kepada penduduk mengenai isu-isu semasa dan inisiatif kerajaan, sekali gus memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.

Sesi penerangan naratif dan Kajian Mengukur Kefahaman Masyarakat Terhadap Inisiatif Kerajaan berjalan dengan baik.

Dalam sesi bersama AADK, penduduk diberi penerangan tentang bahaya penyalahgunaan dadah, khususnya pil kuda dan ketum.

Ketua Unit Pencegahan AADK Daerah Bachok, Mohd Azizi Alias, menegaskan gejala tersebut bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah membawa kepada keruntuhan institusi keluarga dan peningkatan kadar jenayah.

“Pencegahan awal adalah tanggungjawab kita semua. Komuniti yang peka akan menjadi benteng paling kukuh dalam memutuskan rantaian penagihan,” katanya.

Beliau turut berkongsi maklumat mengenai tanda-tanda awal penagihan serta cara mendapatkan bantuan rawatan dan pemulihan.

Sementara itu, Pejabat Penerangan daerah Bachok menyampaikan maklumat mengenai pelbagai inisiatif kerajaan, antaranya Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sempena Hari Kebangsaan ke-68 kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang diyakini dapat meringankan kos sara hidup terutama golongan B40.

Program turut menekankan aspek keselamatan digital melalui Kempen Internet Selamat, dengan fokus kepada penggunaan media sosial secara beretika dan terkawal di mana penduduk diingatkan tentang bahaya penyebaran maklumat palsu, penipuan dalam talian, serta risiko pendedahan kanak-kanak kepada kandungan tidak sesuai.

Golongan warga emas yang disantuni gembira dengan keprihatinan yang diberikan jabatan dan agensi kerajaan.

Program berkenaan dilengkapi dengan edaran risalah, sesi soal jawab, kajian kefahaman masyarakat terhadap inisiatif kerajaan serta pertemuan santai bersama penduduk kampung.

Kerjasama erat antara Pejabat Penerangan Daerah Bachok dan AADK itu membuktikan usaha membanteras dadah dan menyampaikan maklumat semasa memerlukan sinergi pelbagai pihak.

Inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membina komuniti berilmu, sejahtera dan bebas daripada gejala sosial.

-RI

Tinggalkan komen anda