
Laporan/foto: Noor Farihah Mohamed Rahim
TANAH MERAH, 2 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Kampung Bukit Gading, di sini, kelmarin dimeriahkan dengan mini perarakan unik melibatkan 10 unit Case Backhoe sejauh lima kilometer, disertai 50 peserta sambil diiringi lagu-lagu patriotik termasuk Jalur Gemilang.

‘Case backhoe’ dihiasi dengan Jalur Gemilang menyemarakkan semangat cintakan negara.
Perarakan itu menjadi tarikan istimewa komuniti setempat dalam menyemarakkan semangat cintakan tanah air dan menambah kemeriahan suasana sambutan kemerdekaan tahun ini.
Pengerusi Persatuan Case Backhoe Tanah Merah yang juga ketua misi, Mohamad Bukhari Mohd Shari berkata penganjuran tersebut adalah hadiah istimewa buat seluruh rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan 2025.
“Perarakan ini bukan untuk mencari publisiti, tetapi kami lakukan dengan ikhlas dari hati kerana mahu tunjukkan semangat patriotik kepada generasi muda dan penting supaya semangat perjuangan terus hidup dalam jiwa mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif.

Program dapat menyemai semangat cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan komuniti.
Seorang penduduk kampung, Azizi Ibrahim, 56, pula berkata program itu membuktikan bagaimana semangat cinta akan negara dapat dizahirkan melalui aktiviti menarik sekali gus mendekatkan rakyat dengan sambutan kemerdekaan.
Beliau yakin usaha kecil itu mampu mencetuskan semangat cintakan tanah air serta mengukuhkan jati diri masyarakat, selain menyemarakkan perpaduan dalam setiap lapisan rakyat.
Tanggal 31 Ogos 1957 terus terpahat sebagai detik bersejarah apabila Malaysia mencapai kemerdekaan, dan setiap tahun rakyat menyambutnya dengan penuh semangat patriotik sebagai tanda penghormatan terhadap perjuangan serta pengorbanan pejuang terdahulu.
Mini perarakan Case Backhoe itu sekali gus menjadi antara inisiatif kreatif masyarakat di Tanah Merah dalam memahat kenangan sambutan penuh makna pada Bulan Kebangsaan 2025.
-RI





