
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Dungun)
DUNGUN, 2 Sep (MalaysiaAktif) – Kreativiti seorang pemuda Kampung Minda mencuri perhatian apabila menghias perahunya dengan Jalur Gemilang sempena program Kayak Merdeka di Sungai Kelemin, di sini kelmarin.

Peserta berkayak mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyusuri Sungai Kelemin dalam suasana penuh semangat patriotik sempena sambutan kemerdekaan ke-68.
Wan Mohamad Alim Wan Sudin, 33, tampil berbeza apabila sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk menghias perahunya menggunakan Jalur Gemilang dan bendera kecil.
Menurutnya, usaha itu adalah simbol kecintaan kepada tanah air.
“Walaupun dengan cara sederhana, saya ingin menunjukkan bahawa anak muda juga mampu memainkan peranan dalam menzahirkan rasa cinta terhadap negara, lebih-lebih lagi ketika menyambut kemerdekaan ke-68,” katanya kepada MalaysiaAktif.

Penduduk Kampung Minda bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sambil bergambar bersama dalam Program Kayak Merdeka anjuran Komuniti MADANI Kampung Minda.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Minda Mohd Asmadi Khalid, berkata program berkayak bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sesama penduduk, malah menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotik.
Asmadi turut menyeru seluruh masyarakat supaya terus mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis dan kenderaan masing-masing sebagai tanda kecintaan kepada Malaysia yang berdaulat.
Program anjuran Komuniti MADANI Kampung Minda dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Dungun itu berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia, wanita dan kanak-kanak yang sama-sama menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik.
-RI





