Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Perarakan, Basikal Berhias dan Pakaian Tradisional Warnai Sambutan Hari Kebangsaan Di Teratak Warisan Dato Kuala Lawas

By 2 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Asri Dalim (SARAWAK)

LAWAS, 2 Sep (MalaysiaAktif) – Suasana penuh penuh patriotik dan keceriaan mewarnai Program Jiwa@ Komuniti MADANI Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) di Teratak Warisan Dato Kuala Lawas, dekat sini, Ahad lalu.

Program sempena Hari Kebangsaan itu merupakan platform setempat bagi meningkatkan semangat patiotisme dan kerjasama serta perpaduan membabitkan masyarakat di kawasan itu.

Kanak-kanak berpakaian tradisional etnik setempat melambangkan kesatuan dalam kepelbagaian bersama menyambut Hari Kebangsaan.

Perarakan sambil membawa Jalur Gemilang bermula seawal jam 7.30 pagi membabitkan 150 peserta bergerak melalui tiga buah kampung iaitu Kampung Dato Ulu, Kampung Dato Menengah dan Kampung Haji Bayan dengan jarak hampir 3 kilometer.

Kanak-kanak turut dilibatkan dengan program tersebut melalui pertandingan basikal berhias dan pakaian tradisional etnik bertujuan mengalakkan penglibatan golongan peringkat usia muda menyertai program berunsur nilai patriotisme.

Alijin Jaludin, 57, yang menyertai perarakan tersebut bersetuju penganjuran program sebegini diadakan setiap tahun bertujuan menerap dan meneruskan semangat patriotisme, perpaduan dan keharmonian kepada golongan muda di Lawas.

“Wajar untuk melibatkan golongan muda yang terdiri daripada belia dan kanak-kanak melalui program seperti ini kerana merekalah penyambung warisan kesetiaan, keharmonian dan perpaduan yang dikecapi negara kita ketika ini,” katanya.

Perarakan sambil membawa Jalur Gemilang merupakan salah satu pendekatan menampilkan semangat patriotisme Hari Kebangsaan.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Lawas Idris Hassan ketika ditemui menyarankan masyarakat setempat untuk menyahut kempen kerajaan 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan tanah air yang berdaulat.

“Kibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan, teruskan mengibar sehingga ke Hari Malaysia, tunjukkan semangat patriotisme dengan mengibarkan bendera keagungan negara itu, berterusan biar pun Bulan Kebangsaan berakhir,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda