
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Nik Noor Fatin Fatihah Nik Hasri
KUALA TERENGGANU, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Suasana sekitar Kampung Cina dan Pasar Payang, di sini meriah dengan perarakan beca sempena sambutan Hari Malaysia 2025, kelmarin.

Pengunjung Pasar Payang tidak melepaskan peluang menyertai perarakan beca sempena menggelorakan Sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi.
Sebanyak 10 penarik beca tampil dengan hiasan Jalur Gemilang dan bunga-bungaan berwarna-warni, menarik perhatian orang ramai yang tidak melepaskan peluang bergambar.
Perarakan bermula dari Pasar Payang dan berakhir di Dataran Syah Bandar turut diserikan dengan alunan lagu patriotik melalui unit bergerak Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu.
Ketua Komuniti MADANI Padang Negara Mohamad Syahmi Ghazali, berkata acara berkenaan bukan sahaja menghidupkan suasana sambutan, malah melambangkan perpaduan rakyat Malaysia.

Mohamad Syahmi Ghazali menyampaikan bakul makanan kepada penarik beca yang terlibat.
“Beca bukan sahaja ikon pelancongan Melaka, tetapi hari ini ia menjadi simbol kebersamaan kita meraikan Hari Malaysia dalam suasana penuh harmoni,” katanya.
Turut hadir Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (JAPEN) Terengganu Saharrudin Mohamed yang berinteraksi bersama pengusaha beca dalam sesi Sembang Santai.
Acara penuh warna-warni itu bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotik, malah menjadi tarikan unik buat pelancong yang ingin merasai keindahan budaya Malaysia.
-RI





