
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim/Irene Josie Simio Sambang (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 2 Sep (MalaysiaAktif) –Tepukan gemuruh penonton mengiringi persembahan tarian tradisional Magunatip oleh sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom sempena sambutan Hari Sabah 2025 di Padang Merdeka, mencipta suasana penuh warna-warni dan meriah.
Tarian warisan masyarakat Murut itu diserikan dengan kostum beraneka warna, rentak pantas buluh yang berirama, serta senyuman para penari yang menggambarkan semangat perpaduan.
Menurut guru pengiring, Irene Josie Simio Sambang, peluang menari di pentas sambutan Hari Sabah menjadi pengalaman berharga buat para pelajar.

Guru pengiring, Irene Josie Simio Sambang (tengah) merakam gambar kenangan bersama pelajar selepas persembahan tarian Magunatip sempena sambutan Hari Sabah 2025 di Padang Merdeka.
“Dalam persembahan moden, penari Magunatip bukan sahaja daripada kaum Murut, malah turut disertai oleh pelbagai kaum lain. Ini melambangkan penyatuan rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya, selaras dengan semangat Hari Kebangsaan.
Tarian Magunatip bukan sahaja menjadi warisan masyarakat Murut, tetapi juga lambang perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya ketika ditemui di Padang Merdeka, di sini pada Ahad.
Beliau turut berharap semangat kemerdekaan tidak hanya diraikan saban tahun, tetapi terus menjadi pegangan hidup generasi muda.

Penari lelaki SMJK Chung Hwa, Tenom bergaya penuh yakin selepas persembahan Magunatip sempena Hari Sabah 2025.
“Harapan kami agar perpaduan yang dikecapi hari ini berkekalan dan anak-anak muda semakin sedar tentang kepentingan mempertahankan kemerdekaan, selain bersatu menjaga keamanan negara. Sebagai guru dan warganegara, kami mahu kemerdekaan ini terus terpelihara sampai bila-bila,” ujarnya.
Untuk rekod, pasukan tersebut merupakan juara keseluruhan pada Festival dan Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa ke-26, International Istanbul HarmanFolk Folk-Dance Music Festival/Competition yang berlangsung di Istanbul, Turki, dari 29 Mei hingga 1 Jun lalu.
-RJ-





