
Laporan/ foto : Lim Poh Choo/ Kuching Division Journalist Association (Sarawak)
KUCHING, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Ilmu pengetahuan asas pertolongan cemas penting bagi setiap keluarga dan rumah termasuk tempat kerja serta di mana-mana sahaja kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Jurulatih PBSM, Catherine (kiri) dan Lee (kanan) mengajar teknik CPR yang betul.
Jurulatih Kanan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cawangan Stampin Catherine James berkata sebagai contoh setiap rumah harus ada seorang yang mampu melakukan pertolongan cemas kerana kebimbangan utama dalam setiap kecemasan adalah penyakit atau kecederaan yang boleh mengancam nyawa.
“Seorang pemberi pertolongan cemas tahu tindakan awal yang perlu dilakukan, termasuk bila masanya untuk menghubungi ambulans dan apa yang boleh dibuat sementara menunggu bantuan tiba,” katanya ketika ditemui semasa program Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, KDJA dan Bulan Sabit Merah: Latihan Pertolongan Cemas dan CPR di Grand Riverine Ballroom, dekat sini, kelmarin.
Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo Teck Wei berkata tujuan KDJA berkerjasama dengan PBSM menganjurkan latihan pertolongan cemas dan penggunaan Peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED) untuk ahli media bertujuan memberi keyakinan untuk bertindak semasa kecemasan ketika bertugas atau dalam kehidupan peribadi mereka.

Pengamal media sedang mengikuti sesi demontrasi dan pembelajaran berkaitan pertolongan cemas.
Beliau turut menambah, langkah ini selari dengan usaha Kerajaan Sarawak yang sedang merangka peraturan mewajibkan pemasangan AED di setiap bangunan pada masa akan datang.
“Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyatakan bahawa kementeriannya sedang merangka Ordinan Bangunan bagi mewajibkan pemasangan AED,” tambah Ronnie.
Aishah Latip, Pegawai Penerangan Daerah Lundu, 38, salah seorang peserta berpendapat latihan ini sangat penting bukan sahaja untuk wartawan tetapi juga semua peringkat masyarakat kerana ilmu resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan AED mampu menyelamatkan nyawa.

Aishah (kanan) bersama peserta lain selepas sesi pembelajaran membalut luka dan ikatan anduh.
“Latihan ini amat bermanfaat kerana memberi pendedahan praktikal tentang cara bertindak pantas ketika kecemasan dan selepas mengikuti latihan ini, saya kini lebih yakin untuk membantu sekiranya berlaku sesuatu kecemasan,” ujarnya.
Seramai 25 pengamal media Kuching mengikuti latihan intensif yang dijalankan, bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang dikendalikan jurulatih bertauliah daripada PBSM, Lee Kim Tian dan Catherine James.
Selain teknik CPR dan penggunaan AED, modul prosedur asas pertolongan cemas seperti membalut luka dan ikatan anduh juga diajar.
-RJ-





