Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Jangan Terpengaruh Dengan Hasutan Sebaliknya Jadikan Kemerdekaan Sebagai Landasan Kukuhkan Perpaduan – Residen Sri Aman

By 3 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Iswandi Kassim/ Stanley Clarence Eddie (Sarawak)

SRI AMAN, 2 Sep (MalaysiaAktif) – Semua pihak disaran tidak terpengaruh dengan pelbagai hasutan bertujuan meracuni fikiran di media sosial, sebaliknya menjadikan kemerdekaan yang dinikmati hari ini sebagai landasan memperkukuhkan perpaduan sesama rakyat.

Menyentuh perkara tersebut, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh menegaskan kemerdekaan dalam kerangka masyarakat majmuk perlu dipelihara dengan penuh hikmah melalui penolakan fahaman sempit dan hasutan kebencian politik yang berlegar di media sosial.

Mahra (tengah) bersama yang lain memegang Jalur Gemilang untuk dikibarkan semasa program.

“Pembangunan pesat yang dinikmati kita di Sri Aman hari ini membabitkan beberapa projek pembangunan antaranya Jambatan Batang Lupar 2, Jambatan Lingga – Sebuyau dan rangkaian jalan Second Trunk Road Package B2A adalah hasil daripada kestabilan negara dan perpaduan sejak mencapai kemerdekaan lebih enam dekad lalu,” Mahra berkata demikian ketika merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat DUN Lingga anjuran Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman di Dewan Sri Lemanak, di sini, pagi Ahad lalu.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat khususnya generasi muda, agar memahami makna tiga tarikh penting dalam sejarah negara, iaitu 31 Ogos 1957 sebagai Hari Kebangsaan dan Kemerdekaan Tanah Melayu, 22 Julai 1963 Hari Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri dan 16 September 1963 hari pembentukan Persekutuan Malaysia.

Abdul Manan Abdul Latip berucap mewakili setiap Komuniti MADANI yang berada di DUN Lingga.

Program berkenaan turut diserikan dengan ceramah khas keselamatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) Bahagian Sri Aman, pertandingan mewarna, cabutan bertuah serta simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Komuniti MADANI Kampung Hulu Lemanak, Komuniti MADANI Kampung Pruan dan Komuniti MADANI Rumah Rebi, Stumbin B.

Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang, Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Bahagian Sri Aman Dayang Azilah Mohd Salleh, Temenggong Mohd Shah Acang dan Pemanca Abang Norin Abang Norudin.

-RJ-

Tinggalkan komen anda