
Laporan/ foto : Sumardi Sugiman / Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 6 Sep (MalaysiaAktif) – Seramai 300 peserta memeriahkan Mount Singai Eco Run 2025 anjuran Persatuan Penduduk Kampung Senibong, Singai dengan kerjasama City Jogger’s Club (CJC) Kuching di Catholic Memorial Pilgrimage Centre (CMPC), Singai, dekat sini hari ini.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak Datuk Henry Harry Jinep dalam ucapan perasmiannya menjelaskan acara tersebut bukan sahaja mendapat penyertaan aktif penduduk setempat dan kawasan berdekatan tetapi juga melibatkan peserta luar dari Semenanjung, Sabah dan Brunei.

Henry menyuarakan rasa bangga kerana Mount Singai Eco Run 2025 mempromosikan Gunung Singai sebagai destinasi pelancongan.
“Saya berasa gembira kerana inisiatif ini bukan sahaja berjaya mempromosi gaya hidup sihat tetapi juga memperkukuh kedudukan Gunung Singai sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semulajadi dan warisan budaya,” kata Henry lagi.
Beliau menambah, Gunung Singai yang kini didaftar sebagai sebahagian daripada Sarawak Delta Geopark menjadikannya aset pelancongan amat bernilai bukan sahaja kepada Bau dan komuniti Singai tetapi kepada Sarawak secara keseluruhannya.
Henry juga mengucapkan syabas kepada pihak penganjur yang berjaya menganjurkan acara tersebut selari dengan visi Kementerian Pelancongan untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang berteraskan kelestarian, kreativiti dan keterangkuman.

Persembahan kebudayaan oleh pelajar SK Senibong menyerikan suasana Mount Singai Eco Run 2025 di CMPC, Singai.
“Kejayaan penganjuran acara ini telah memberi pendedahan dan pengalaman kepada penganjur dalam mengelola aktiviti berskala besar yang melibatkan peserta tempatan, pelancong dan pelari antarabangsa.
“Mount Singai Eco Run ini bukan sahaja sekadar acara larian tetapi juga manifestasi semangat komuniti, kerjasama antara sektor swasta dan NGO dan komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar” jelasnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi, pengerusi pengelola program Dicky Lumit, ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat ketua kaum (KMKK) Daerah Bau.
-RJ-





