
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 6 Sep (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan sambutan Maulidur Rasul wajar dijadikan teladan dalam memperkukuh penghayatan umat Islam terhadap al-Quran dan sunah.

Perarakan sambutan Maulidur Rasul Masjid Jamiatus Solahiah.
Beliau berkata, sunah bukan sekadar merujuk kepada hadis atau kata-kata Rasulullah SAW, tetapi turut merangkumi pengakuan serta persetujuan Baginda terhadap pelbagai perkara yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan.
“Kasih sayang dan kecintaan ini dizahirkan melalui majlis seperti ini dengan meraikan dan memperingati antara satu sama lain.
“Ia juga menjadi ingatan agar kita sentiasa berada di jalan yang benar kerana sifat manusia mudah lupa dan perlu sentiasa diperingatkan,” katanya.

Amirudin menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabutan Berkat sempena sambutan Maulidur Rasul Masjid Jamiatus Solahiah hari ini.
Amirudin berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamiatus Solahiah, Kampung Sungai Tua Baharu, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa menyokong dan meraikan program berteraskan keagamaan yang dapat mengukuhkan perpaduan serta penghayatan masyarakat.
-RI





