
Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof/Nik Aula Nik Soh
KUALA KRAI, 7 Sep (MalaysiaAktif) – Lebih 300 penduduk Kampung Kuala Pertang menyertai perarakan Maulidur Rasul yang diadakan buat pertama kali selepas lebih empat dekad, menzahirkan semangat kecintaan terhadap junjungan Nabi Muhammad SAW.

Pelajar Pondok Ahmadiah Kampung Telekong menyertai perarakan.
Program anjuran Komuniti MADANI Kuala Pertang, di sini semalam menghimpunkan tujuh kontinjen melibatkan pelajar pondok, ahli kariah masjid, madrasah serta badan kebajikan tempatan.
“Sambutan ini bukan sahaja menghidupkan semula tradisi lama, malah berjaya menyatukan seluruh penduduk kampung dalam suasana penuh ukhuwah,” kata Ketua Komuniti MADANI Adnan Mat Yassin.

Adnan Mat Yassin mengetuai perarakan.
Acara turut diserikan dengan alunan selawat, ceramah agama, persembahan qasidah dan marhaban, selain doa selamat sebagai penutup majlis.
Bagi penduduk, kembalinya sambutan ini menjadi simbol perpaduan masyarakat serta bukti warisan kecintaan kepada Rasulullah SAW tetap subur dalam hati umat Islam walaupun tradisi itu pernah terhenti hampir 40 tahun.
-RI





