Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Sambutan Maulidur Rasul Pupuk Umat Islam Pulau Pangkor Cintakan Rasul

By 7 September 2025September 8th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Andi Abdul Rohim (Manjung)

LUMUT, 7 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pangkor 1447H/2025M berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 peserta yang menyertai perarakan dari Masjid Teluk Raja Bayang ke Masjid Al Badr (Seribu Selawat).

Mohamad Shamsul Sulaiman, (Baju Melayu kuning) bersama jawatankuasa pelaksana program.

Majlis penuh bermakna itu dianjurkan bersama oleh agensi kerajaan, persatuan tempatan serta komuniti Pulau Pangkor sebagai tanda kecintaan dan kerinduan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Menurut pengarah majlis, Mohamad Shamsul Izwan Sulaiman penganjuran program berkenaan bertujuan menanam rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah dalam kalangan murid, guru serta masyarakat setempat.

“Selain memperkukuh pengetahuan dan penghayatan terhadap sirah serta akhlak Baginda, sambutan ini juga memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara pihak sekolah dengan masyarakat Pulau Pangkor.

“Terima kasih kepada para penyumbang, jawatankuasa pelaksana serta semua peserta yang telah menjayakan sambutan ini,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Perarakan sejauh 2.8 kilometer itu disertai pelajar sekolah, persatuan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK), ahli masjid, surau serta penduduk setempat.

Sepanjang perarakan, peserta membawa sepanduk sambil berselawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Sepanduk Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Daerah Manjung.

Acara diteruskan di Masjid Al Badr (Seribu Selawat) dengan ceramah Maulidur Rasul selepas solat Maghrib, disusuli penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Sepanduk Tercantik.

Keputusan pertandingan telah memihak kepada Al Batul Pangkor yang telah dinobatkan sebagai johan pertandingan dengan diikuti Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Manjung sebagai naib johan dan tempat ketiga pula disandang oleh Tahfiz An-Nur.

Manakala, Raudhatul Jannah Sungai Pinang dan Madrasatul Islamiah An-Nur masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima.

Tinggalkan komen anda