Skip to main content
Berita TempatanSarawak

JIWA@Komuniti MADANI Semarakkan Patriotisme di Piasau

By 7 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Mohamed Fazri Yusri (Sarawak)

MIRI, 7 Sep (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 dengan pelbagai aktiviti menarik berteraskan patriotisme di Dewan JKKK Kampung Pulau Melayu, di sini semalam.

Sebastian Ting memacak Jalur Gemilang di rumah Ketua Kaum Kampung Pulau Melayu.

Ucapan perasmian Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew yang dibacakan Kaunselor Leslie Lau menekankan bahawa kekuatan sebenar Sarawak sebagai contoh perpaduan nasional terletak pada sikap saling hormat-menghormati antara kaum, agama dan budaya.

“Jangan ambil mudah nikmat keharmonian yang ada kerana perpaduan adalah asas kekuatan bangsa dan negara kerana tanpa perpaduan, pembangunan dan kejayaan yang kita kecapi tidak mungkin dicapai,” katanya.

Pegawai Penerangan Daerah Miri Aidawatie Mustapha pula menyeru masyarakat setempat untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta dan taat setia kepada negara.

Beliau menekankan tema sambutan tahun ini, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, membawa mesej kebebasan daripada elemen negatif serta pembentukan kesatuan rakyat yang harmoni, progresif dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Simbolik inisiatif 1R1JG di salah sebuah rumah penduduk kaum Cina di Kampung Pulau Melayu.

Sementara itu Marni Rosli mewakili Komuniti MADANI DUN Piasau, berkata, Jalur Gemilang adalah simbol penyatuan hati rakyat, lambang perjuangan, pengorbanan dan kedaulatan negara.

“Mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga adalah tanda cinta kita kepada tanah air dan marilah kita jadikan program ini platform untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme, sama ada di kawasan kediaman, sekolah, pejabat mahupun di jalan raya,” katanya lagi.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Daerah Miri bersama Komuniti MADANI Kampung Pulau Melayu, Kampung Luak dan Kampung Haji Wahed turut dimeriahkan dengan konvoi bermotosikal, pertandingan mewarna dan pakaian beragam kanak-kanak, pertandingan motosikal berhias serta cabutan bertuah.

Terdahulu, Sebastian turut berkesempatan menyertai konvoi bermotosikal HKHM 2025 mengelilingi Kampung Pulau Melayu sebelum merasmikan simbolik Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) dengan memacak Jalur Gemilang di premis kerajaan dan kediaman penduduk terpilih sepanjang laluan konvoi.

Perlepasan konvoi HKHM disempurnakan oleh Temenggong Abang Mohamed.

Program ini diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai lagu Jalur Gemilang, menyemarakkan lagi rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Ini sekali gus membuktikan komitmen masyarakat setempat yang memperkukuh silaturahim dan menanamkan rasa cinta akan tanah air, seiring aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, kebersamaan dan perpaduan.

Turut hadir Temenggong Abang Mohamed Datuk Seri Abang Othman, Pemanca Ujut Rahman, Penghulu Samad Alip, Darahaman Sahat, Ketua Kaum Kampung Pulau Melayu Abdul Rahaman Bolhassan, Ketua Kaum Kampung Luak Abdul Hamit Salim, Ketua Kaum Kampung Haji Wahed dan Ketua-Ketua Komuniti MADANI kawasan Piasau, Miri.

-RJ-

Tinggalkan komen anda