Skip to main content
SarawakBerita Tempatan

Sekitar 800 Umat Islam Hadir Meriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong

By 7 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Rick Anderson Rini (Sarawak)

GEDONG, 7 Sep (MalaysiaAktif) – Sekitar 800 umat Islam sekitar Daerah Gedong memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong Tahun 2025 yang berlangsung penuh kesyukuran dan keberkatan di Dewan Datuk Patinggi Ali, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee yang hadir merasmikan majlis menekankan tema sambutan tahun ini, “Ummah Maju Makmur” menjadi wadah untuk menzahirkan rasa syukur dan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Marilah kita umat Islam meneladani akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan membina masyarakat bersatu padu, progresif dan sejahtera,” kata Rodiyah ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis.

Rodiyah menyampaikan ucapan perasmian Majlis Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong.

Menurut beliau, sambutan tersebut bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi landasan memperkukuh perpaduan ummah, memupuk semangat persaudaraan, dan menyemarakkan syiar Islam di daerah ini.

Rodiyah juga berkata belia di kawasan Gedong harus memainkan peranan lebih aktif mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan di sini kerana peranan golongan itu yang akan menentukan kemajuan daerah terutamannya melalui perpaduan kukuh.

Sambutan yang berlangsung selama tujuh hari itu turut diisi dengan pelbagai pertandingan seperti pertandingan sepanduk, tilawah al-Quran, pertandingan zikir, ceramah agama dan selawat perdana bertujuan menggalakkan penghayatan terhadap ajaran Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Acara kemuncak pada hari ini menyaksikan perarakan bermula di Dewan Datuk Patinggi Ali dengan alunan selawat sebelum mengelilingi Pekan Gedong sejauh lima kilometer dan berakhir semula di lokasi permulaan.

Pelbagai penampilan berwarna-warni peserta perarakan menyerikan Sambutan Maulidur Rasul di Gedong.

Penyertaan melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah, belia dan komuniti setempat yang hadir dalam pakaian berwarna-warni sambil membawa sepanduk bertema.

Penganjuran sambutan ini menjadi bukti komitmen masyarakat Gedong dalam memartabatkan nilai-nilai murni Islam serta mengukuhkan ukhuwah demi kemajuan dan kemakmuran bersama, selaras dengan semangat tema tahun ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda