Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Masjid Al-Amin Johan Anugerah Masjid Paling Aktif, Sejarah Baharu Sambutan Maulidur Rasul Sri Aman

By 8 September 2025Oktober 1st, 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Iswandy/ Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) (Sarawak)

 SRI AMAN,  8 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah/2025 Masihi peringkat Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman pada Sabtu lepas mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Masjid atau Surau Paling Aktif sebagai bentuk penghargaan kepada institusi rumah ibadat Islam yang cemerlang dalam mengimarahkan syiar Islam.

Anugerah khas ini merupakan inisiatif Jawatankuasa Perayaan Islam Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Sri Aman, yang menilai beberapa aspek utama termasuk kecekapan pentadbiran, pengurusan kewangan yang berhemah, pengisian kerohanian yang berterusan, serta usaha istiqamah dalam menghidupkan solat berjemaah dan majlis ilmu.

Hasil penilaian teliti pihak jawatankuasa, Masjid Al-Amin Taman Sri Jaya dinobatkan sebagai johan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000. Tempat kedua disandang oleh Masjid Bandar Sri Aman yang menerima RM2,000, manakala Masjid Darul As-Syakirin Kampung Muhibbah menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM1,000.

Aman Abdullah menerima hadiah johan berupa wang tunai, piala dan sijil daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Lingga Dayang Noorazah Haji Awang Sohor

Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perayaan Islam Bahagian Sri Aman, Encik Mahra Salleh berkata, penganugerahan ini diwujudkan bagi mendorong institusi masjid dan surau agar lebih proaktif dalam memainkan peranan sebagai pusat pembangunan ummah.

“Kita mahu masjid dan surau bukan hanya berfungsi sebagai tempat solat, tetapi turut menjadi pusat pengajian ilmu, kebajikan dan perpaduan masyarakat. Justeru, penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan kepada usaha jemaah yang istiqamah dalam mengimarahkan rumah Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Amin Taman Sri Jaya, Encik Aman Abdullah, menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima.

Wakil Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibbah menerima hadiah tempat ketiga bagi kategori Masjid dan Surau paling aktif 2025.

“Kejayaan ini bukan hasil usaha individu, tetapi kerjasama seluruh jemaah dan komuniti yang sentiasa komited menjayakan program-program masjid. Kami akan terus berusaha menjadikan Masjid Al-Amin sebagai pusat penyatuan, ilmu dan tarbiah masyarakat Islam di Sri Aman,” ujarnya.

Penganugerahan bersejarah ini dijangka akan menjadi acara tahunan tetap dalam sambutan Maulidur Rasul peringkat Bahagian Sri Aman. Beberapa anugerah lain juga akan diperkenalkan pada masa akan datang, selaras dengan usaha mengangkat martabat masjid dan surau sebagai pusat pembangunan holistik umat Islam.

-RJ-

-RJ-

Tinggalkan komen anda