Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Jiwa@Komuniti MADANI Kukuhkan Hubungan Polis-Masyarakat Demi Keselamatan Luar Bandar

By 8 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti MADANI Sembang Santai Peringkat Komuniti MADANI di Rumah Rebi, Stumbin B, semalam menyerlahkan kerjasama erat antara polis dan masyarakat dalam membina komuniti yang lebih selamat, makmur dan harmoni.

Mohd Effei menyampaikan ceramah yang menekankan seriusnya penularan dadah ke kawasan luar bandar.

Insp Mohd Effei Faeis Mohd Effendi dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman ketika menyampaikan ceramahnya menekankan bahaya penularan dadah ke kawasan luar bandar yang kini semakin membimbangkan.

“Ancaman dadah bukan lagi tertumpu di bandar sahaja, malah kini sudah menular ke kawasan luar bandar termasuk rumah panjang dan lantaran itu, kita juga perlu sedar bahawa dadah boleh memusnahkan generasi muda dan menghancurkan institusi keluarga,” katanya.

Inspektor Muhd Huzairie dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) memberi penekanan kepada aspek keselamatan komuniti.

Mohd Effei menambah peranan komuniti pula amat penting untuk menjadi benteng pertama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis, mendidik anak-anak supaya menjauhi najis dadah dan bersama-sama memastikan rumah panjang bebas daripada pengaruh yang merosakkan.

Dalam program yang sama, Insp Muhd Huzairie Hamzah dari Bahagian Siasatan Jenayah pula memberi penekanan kepada aspek keselamatan komuniti apabila beliau menyentuh mengenai ancaman scammer atau penipu yang semakin licik memperdayakan orang ramai, selain isu jenayah yang menimbulkan keresahan masyarakat.

“Keselamatan komuniti tidak boleh dipandang ringan kerana ketika ini penipuan dalam talian atau scammer semakin canggih dan ramai mangsa terpedaya kerana kurang pengetahuan,” tambah Muhd Huzairie lagi.

Simbolik perasmian program yang akan dilakukan dengan memukul gong oleh Safariza (lima kiri).

Beliau juga menekankan, ketika masyarakat sering berdepan isu jenayah yang mengganggu sensitiviti masyarakat seperti perbuatan menyelongkar kubur lama yang sering berlaku ketika ini, masyarakat harus sentiasa berwaspada, saling mengingatkan dan segera melaporkan kepada pihak polis jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman dengan kerjasama Komuniti MADANI Rumah Rebi, Stumbin B itu dimulakan pada sebelah pagi dengan aktiviti gotong-royong menaik taraf tandas awam dan membersihkan kawasan sekitar rumah panjang.

Turut hadir pada program tersebut Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang dan Ketua Komuniti MADANI Rumah Rebi, Stumbin B Waterkiller James.

-RJ-

Tinggalkan komen anda