
Laporan/foto: Awangku Marzuki Ag Latip/Amir Kanje (Tawau)
TAWAU, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Program Jiwa Komuniti MADANI dilihat berupaya menjadi platform penyatuan masyarakat setempat sempena sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Hassan ketika menyampaikan ucapan sempena perasmian Program Jiwa Komuniti MADANI di Kampung Sungai Tongkang.
Program yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Hassan A Ghani Pengiran Amir itu mengangkat kebesaran bulan kelahiran Rasulullah SAW bersama semarak Hari Kebangsaan sebagai lambang kesyukuran.
Jelasnya, program bersama masyarakat adalah peluang untuk pemimpin menyampaikan amanat berkaitan erti sebenar kemerdekaan dan nilai kebersamaan di peringkat akar umbi.
“Kemerdekaan yang dikecapi hari ini bukan sekadar kebebasan politik, tetapi perlu dihayati melalui pengukuhan akidah serta perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Kemerdekaan yang dikecapi mesti terus dipertahan dengan semangat perpaduan serta pengukuhan akidah umat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Kampung Sungai Tongkang, di sini, pada Sabtu.

Pengerusi Komuniti MADANI Pulau Sebatik menyerahkan cenderahati kepada Julina.
Program anjuran bersama agensi kerajaan itu diserikan dengan pelbagai pengisian seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, sembang santai, solat berjemaah dan ceramah Maulidur Rasul.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan yang turut bersama-sama komuniti memeriahkan sambutan berkenaan.
-RJ-





