
Laporan/foto : Lydia Humphery Tungkat (Sarawak)
SADONG JAYA, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Walaupun dalam keadaan cuaca sejuk dan hujan yang tidak berhenti sejak pagi, semangat peserta Konvoi Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sadong Jaya yang menantikan ketibaan konvoi tetap menyala dengan semangat patriotisme.
Berbekalkan semangat kental ‘Agi Idup, Agi Ngelaban’ pergerakan KMJG yang memulakan fasa keempat menjelajah ke Bahagian Kuching dan Samarahan membawa semangat patriotisme kepada semua lapisan masyarakat termasuk kepada generasi muda.
Ketibaan konvoi KMJG di sekolah berkenaan semalam disambut meriah dengan sorakan oleh lebih 250 pelajar bersama komuniti setempat yang menunggu kehadiran mereka di Dewan Sri Nilam.
Acara pembukaan pula dimeriahkan dengan deklamasi sajak bertajuk “Di Sini Lahirnya Jiwa Merdeka” yang dilpersembahkan oleh dua pelajar, Muhammad Harith Iman Indera Bahtiar, 16, dan Muhammad Mustaqeem Wardi, 15.

Deklamasi sajak Di Sini Lahirnya Jiwa Merdeka oleh pelajar SMK Sadong Jaya.
Bagi guru penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Sadong Jaya Sharhaniza Othman pemilihan sekolah tersebut sebagai salah satu hentian konvoi KMJG merupakan suatu penghormatan besar.
“Kami amat berharap program ini dapat membuka mata para pelajar untuk memahami dan menghargai usaha di sebalik pelaksanaannya namun apa yang lebih penting, ia mampu membina jati diri rakyat Malaysia yang kukuh dalam jiwa generasi muda,” katanya ketika ditemui bersama pelajarnya selepas ketibaan konvoi KMJG.

Guru penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Sadong Jaya, Sharhaniza Othman.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapie ketika merasmikan majlis berkata pelajar SMK Sadong Jaya adalah antara generasi yang bakal menentukan hala tuju Sarawak dan Malaysia.
“Anda semua punya tanggungjawab besar yang mesti digalas dengan penuh amanah dan rasa cinta kepada tanah air berteraskan tiga perkara utama iaitu membina pemikiran progresif, berilmu dalam mengukuhkan integrasi sosial dan menghormati kepelbagaian kaum serta budaya,” ujar Rodiyah.
Kehadiran KMJG di situ membuktikan bahawa program berkenaan bukan sekadar singgah lalu sahaja, sebaliknya sebagai simbol penyemaian benih patriotisme yang wajar terus subur.
Usaha tersebut selari dengan semangat Malaysia MADANI, yang menuntut perpaduan, kesetiaan dan rasa cinta negara tanpa mengenal penat dan lelah, tidak kira apa pun cabaran yang mendatang.
-RJ-





