
Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz/Muhaimin Musa
KUALA LUMPUR, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali beri oleh Kerajaan MADANI disambut positif rakyat Malaysia.
Kerajaan menyalurkan bantuan itu melalui MyKad kepada setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas bermula 31 Ogos lepas sehingga 31 Disember ini.
Manakala, baki yang tidak dibelanjakan selepas tarikh luput akan disalurkan kepada golongan rentan.
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif untuk membantu golongan berpendapatan rendah menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beberapa penerima bantuan SARA berkongsi pengalaman dan pandangan mereka menerusi tinjauan Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Seorang pekerja swasta Emelda Ali, 25, menyifatkan bantuan itu bukan sekadar sokongan kewangan tetapi juga mesej keprihatinan daripada kerajaan.

Mohd. Afiq yang ditemui Malaysia Aktif bersyukur dengan pemberian sekali beri SARA RM100.
“Bagi saya, bantuan RM100 ini bukan sahaja membantu rakyat yang susah, tetapi ia juga memberi mesej bahawa kerajaan kita tidak pernah melupakan golongan yang susah,” katanya.
Seorang lagi penerima, penyelia Muhammad Afiq, 26, meluahkan rasa syukur dan berpendapat bahawa walaupun jumlahnya kecil, impak yang diberikan sangat besar dalam kehidupan seharian.
“Alhamdulillah, tambahan RM100 SARA ini benar-benar membantu. Ia mungkin kecil pada angka, tetapi besar kesannya pada kehidupan seharian,” ujarnya.

Mohd. Nazri mengakui SARA RM100 mengurangkan beban.
Manfaat yang sama turut dirasai oleh pekerja sektor swasta Muhammad Nazri Abdul Razak, 49, yang mengakui bahawa kos sara hidup di ibu kota adalah mencabar.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Alhamdulillah, walaupun kos sara hidup sekarang ni makin mencabar, sekurang-kurangnya dengan bantuan SARA RM100 daripada kerajaan, dapatlah mengurangkan beban hidup di Kuala Lumpur buat masa ini,” katanya.
Program SARA RM100 membolehkan penerima membeli 14 kategori barangan keperluan asas, seperti beras, minyak masak, tepung, dan barangan kebersihan diri, di lebih 4,100 kedai terpilih di seluruh negara.
-RI





