
Oleh : Rosman Bin Zaini / Foto oleh : Roslee Hashim
SIBU, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Lima orang anak Merdeka dan Malaysia yang lahir pada 31 Ogos dan 16 September dirai dalam slot yang dikenali sebagai Solidariti Anak Merdeka (SAM) Sibu semalam.
Mereka yang bertuah dipilih daripada banyak penyertaan yang dibuka oleh Jabatan Penerangan Malaysia Sibu sebelum ini khusus untuk anak-anak Sibu.
Salah seorang daripada mereka, Siti Malaysia Binti Abang menyifatkan pemilihan beliau dalam Solidariti Anak Merdeka oleh Jabatan Penerangan satu penghormatan yang tidak dijangka.
“Sebagai anak Malaysia kita sepatutnya berbangga menjadi warga Malaysia dan tidak berasa malu untuk mengibar Jalur Gemilang”, tegasnya yang memiliki nama yang unik dan lahir pada 16 September 1963.
Sementara itu, seorang lagi anak Malaysia iaitu Dami anak Dingon yang berasal dari Skim Sekuau, Selangau yang ditemui nyata terlalu gembira kerana namanya tersenarai antara yang terpilih untuk hadir pada program yang penuh bersejarah ini.
Dami yang lahir pada 16 September 1971 berharap program sebegini wajar diteruskan agar generasi muda akan terus menghargai kemerdekaan negara.
Dalam pada itu seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Sibu iaitu Chiang Kang Ming yang akan mewakili dan membawa cabaran Malaysia pada kuiz ASEAN di Laos pada 22 Ogos ini turut diraikan dengan penyerahan bendera Malaysia sebagai simbolik sokongan kepadanya.
“Saya akan sedaya upaya memberi persembahan yang terbaik dan membawa nama Malaysia di persada antarabangsa. Terima kasih kepada Jabatan Penerangan yang membolehkan saya untuk terus berada di peringkat seterusnya,” jelasnya.
Mereka ditemui dalam Program Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 anjuran Jabatan PeneranganMalaysia Bahagian Sibu/Mukah pagi semalam.

Program Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59 anjuran Jabatan PeneranganMalaysia Bahagian Sibu/Mukah pagi semalam.
Sementara itu, Pengerusi Maljis Perbandaran Sibu, Datuk Tiong Thai berasa bangga kerana pada hari ini rakyat dapat hidup dalam suasana aman hasil perjuangan para pejuang kemerdekaan pada masa lalu.
“Saya mengambil kesempatan ini juga, merayu kepada rakyat agar terus menghargai para pejuang kemerdekaan negara. Atas semangat kemerdekaan, kita dapat hidup dengan aman dan sejahtera,” ujarnya.
Tiong turut menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil-wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan, ketua-ketua masyarakat dan pengerusi-pengerusi Komuniti 1 Malaysia Daerah Sibu.
Program Kibar Jalur Gemilang kali ini turut mendapat kerjasama erat daripada Pejabat Residen Bahagian Sibu dan Pejabat Pendidikan Daerah Sibu selaku penganjur bersama.
“Sempena dengan kempen kibar Jalur Gemilang, saya menyeru kepada semua pihak tanpa mengira latar agama, bangsa dan budaya supaya mempunyai semangat cinta akan negara dengan mengibar Jalur Gemilang.
“Sesungguhnya, tonggak kejayaan Malaysia terletak kepada perpaduan rakyat yang berbilang kaum. Tema Sehati Sejiwa amat tepat dan wajar dihayati kerana melalui perpaduan, negara kita akan terus maju dan disegani oleh semua pihak,” jelasnya.
– SF