
Laporan/foto: Zurina Saad/Mohd (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI 9 Sep (MalaysiaAktif) – Dareah Kuala Muda muncul johan keseluruhan temasya Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) 2025.
Membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, daerah Kuala Muda merangkul 18 pingat emas, 11 perak dan 13 gangsa.

Kontinjen Daerah Kuala Muda SUKDA 2025.
Pegawai Daerah Kuala Muda Azmin Zainol Abidin berkata pencapaian itu menjadi bukti kesungguhan, disiplin dan semangat luar biasa atlet Kuala Muda.
“Ia sekali lagi membuktikan kita bukan sahaja hebat di gelanggang tetapi juga kaya dengan semangat juang dan persaudaraan,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Sukan Daerah Kuala Muda.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup temasya SUKDA di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok malam semalam.

Kuala Muda turut merangkul pingat emas dalam acara balapan.
Menurutnya lagi kejayaan itu juga menjadi inspirasi buat anak muda bahawa dengan latihan, keyakinan dan kerja berpasukan, apa sahaja boleh digapai.
“Terima kasih kepada semua jurulatih, pegawai, penyokong dan atlet yang telah berkorban masa dan tenaga dan tahniah kepada semua pemenang dan terima kasih kepada setiap atlet, jurulatih serta penyokong yang menjayakan kejohanan ini,” katanya.
-RI





