
Laporan/foto: Lydia Humphery Tungkat (Sarawak)
SIMUNJAN, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Jelajah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Fasa Keempat diteruskan ke destinasi persinggahan kedua, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No 1, semalam.
Konvoi berkenaan sebelum itu memulakan perjalanan dari SMK Sadong Jaya merentasi jarak kira-kira 36 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 45 minit sebelum tiba di lokasi kedua tersebut.

Dr Nasir menyampaikan ucapan mengalu-alukan ketibaan konvoi KMJG.
Ketibaan konvoi disambut meriah warga sekolah melalui paluan kompang, kibaran Jalur Gemilang dan persembahan bersemangat daripada para pelajar.
Ketika berucap di Majlis Perasmian KMJG 2025 Pengetua SMK No. 1 Simunjan Dr Nasir Len merakamkan penghargaan atas kesudian pasukan konvoi menjadikan sekolah berkenaan sebagai persinggahan kedua yang disifatkannya sebagai satu penghormatan dan kebanggaan besar kepada warga sekolah.
“Hari Kemerdekaan bukan sahaja untuk mengibarkan Jalur Gemilang tetapi kita juga harus diingatkan bahawa kita berdiri pada hari ini adalah hasil daripada keringat, air mata dan darah pejuang-pejuang terdahulu,” katanya.

Umi Zuhayra (kiri) dan Hasymah teruja menyambut ketibaan konvoi KMJG
Bagi Umi Zuhayra Idi Ahmad, 18, pelajar dari Kampung Sungai Ba, Simunjan, semangat patriotisme perlu sentiasa dikekalkan dan disematkan dalam jiwa generasi muda kerana mereka merupakan pemangkin masa depan negara.
Seorang lagi pelajar, Zakwan Haziq Mohamad, 19, berpendapat bahawa semangat patriotisme dalam kalangan pelajar luar bandar harus terus disemai secara berterusan agar mereka lebih sedar akan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Isyraf Izyan diberikan peranan sebagai pembaca ikrar semasa program KMJG di sekolahnya.
Sementara itu, Isyraf Izyan Roynizan, 19, pelajar dari Kampung Tabuan Melayu, Kuching yang diberi tanggungjawab membaca ikrar pada majlis tersebut, menyifatkan pengalaman itu sebagai detik yang menyuntik semangat cintakan negara secara lebih mendalam.
“Ketika membaca ikrar tadi, saya lebih memahami dan menghargai erti kemerdekaan kerana teks ikrar itu sarat dengan intipati cinta kepada negara,” jelasnya.
Melalui penglibatan aktif warga sekolah serta suara generasi muda yang lantang dan bersemangat, jelas bahawa persinggahan Konvoi KMJG 2025 Fasa Keempat di SMK Simunjan No 1 bukan sekadar acara simbolik, malah menjadi wadah penting dalam menyemai semangat patriotisme yang tulen dan berterusan dalam kalangan pelajar.
-RJ-






