
Laporan/ foto : Iswandy Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Sarawak berpotensi besar untuk meningkatkan pengeluaran padi sekali gus memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata meskipun Malaysia sudah lama mengusahakan tanaman padi, negara masih bergantung kepada beras putih import dan Tahap Sara Diri (SSR) beras Sarawak pada 2024 hanyalah 21 peratus.
Sehubungan itu, sebagai langkah strategik, kerajaan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan memperluaskan kawasan penanaman padi serta melaksanakan Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di bawah IADA Batang Lupar.

Dr Rundi meninjau pameran di lokasi program.
Projek rintis SMART SBB di Tanjung Bijat yang dilaksanakan bersama Padiberas Nasional (BERNAS) dan Advansia (Sarawak) Sdn Bhd telah menunjukkan peningkatan ketara apabila purata tuaian naik kepada 5.5 tan/hektar berbanding 2.8 tan/hektar sebelum ini.
“Berdasarkan kejayaan ini, kementerian menetapkan sasaran jelapang padi Batang Lupar mencapai purata 6 tan/hektar pada musim akan datang,” katanya ketika merasmikan Hari Bersama Pelanggan IADA Batang Lupar di Dewan Suarah, Sri Aman, hari ini.
Dr Rundi menegaskan sektor agro-makanan Sarawak perlu bergerak seiring dengan transformasi teknologi bagi merealisasikan Visi Sarawak 2030 sebagai negeri pengeluar makanan utama.
“Pertanian masa kini bukan lagi sekadar bercucuk tanam, tetapi melibatkan keseluruhan ekosistem daripada penyelidikan, inovasi, teknologi pintar, pemasaran hingga jaringan eksport. Inilah yang mahu kita pupuk di Batang Lupar dan seluruh Sarawak,” jelas beliau.

Pada majlis itu, Dr Rundi turut menyaksikan penyerahan enam bantuan projek pembangunan pertanian bernilai RM3.58 juta kepada para petani, merangkumi input pertanian, penaiktarafan jalan ladang serta penyelenggaraan sistem saliran dan pengairan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Pengerusi SADA Datuk Seri Rohani Abdul Karim, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor Residen Sri Aman Mahra Salleh dan Pengarah IADA Batang Lupar Irene Lah.
-RJ-





