
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Pertandingan Kemahiran Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCCSkills) adalah platform terbaik peserta untuk bertanding ke peringkat lebih tinggi.
Pengarah Kolej Komuniti Bandar Baharu Mohd Fuad Osman berkata pertandingan itu membolehkan pemilihan peserta terbaik dari institusi POLYCC untuk diketengahkan ke pertandingan kemahiran di peringkat lebih tinggi, termasuk kebangsaan dan antarabangsa.

Ketua-ketua jabatan kerajaan juga tidak melepaskan peluang untuk sama-sama mendengar penerangan dari Kolej Komuniti berkaitan sistem gear box berfungsi dalam kenderaan.
“Selain menilai kemahiran, ia juga menjadi medan pelajar dan tenaga pengajar berkongsi kepakaran, meningkatkan kreativiti serta memperkukuh jaringan ilmu,” katanya, di sini semalam.
Kolej Komuniti Bandar Baharu menjadi tuan rumah POLYCCSkills 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 11 September ini.
Pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya Kursus Pendek Asas Kimpalan MIG, Kursus Tyre Changer Machine, simulator Formula One, demonstrasi permainan Sumo Robot, servis percuma BATERIku.com, pameran kenderaan elektrik, pameran enjin hibrid serta jualan keusahawanan.
Menurut salah seorang tenaga pengajar, Azhar Aziz program itu amat bermanfaat kerana bukan sahaja meningkatkan kemahiran individu, malah memberi pendedahan luas terhadap kebolehan dan peluang dalam bidang teknikal.

Azhar Aziz sedang membuat penerangan kepada para pelajar sekolah dan menyifatkan program ini amat bermanfaat untuk meningkatkan kemahiran individu dalam bidang teknikal.
“Banyak perkara baharu saya pelajari. Paling penting ia memberi inspirasi kepada anak muda untuk terus menambah kemahiran seiring keperluan industri,” ujarnya.
Lawatan akademik oleh sekolah-sekolah menengah dari daerah Kulim-Bandar Baharu, Seberang Perai Selatan dan Kerian juga memberi peluang pelajar untuk melihat lebih dekat dunia TVET serta kerjaya masa hadapan.
Penganjuran POLYCCSkills 2025 dilihat bukan sahaja mengangkat peranan Kolej Komuniti Bandar Baharu sebagai pusat kecemerlangan kemahiran, malah menyokong aspirasi negara dalam melahirkan tenaga kerja berdaya saing dan berkemahiran tinggi.
-RI





