Skip to main content
Berita TempatanSarawak

KMJG Beri Ruang Dan Peluang Kepada Pelajar Zahirkan Semangat Patriotisme

By 10 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Lee Nyuk Lan/ Bolhan Basah (Sarawak)

BAU, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Pada era digital yang dipenuhi kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), semua peringkat golongan masyarakat terdedah kepada kecanggihan peralatan digital sehingga menggugat pemikiran golongan muda yang lebih tertarik dengan penggunaan media sosial dan permainan digital.

Keadaan ini dilihat sebagai satu cabaran dalam usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dan memerlukan pendekatan yang lebih strategik pada zaman digital ini.

KMJG menyerlahkan semangat semua pihak terutamanya golongan pelajar apabila dianjurkan membabitkan pihak sekolah.

Namun demikian, Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang merupakan salah satu pendekatan komunikasi bersemuka masih tetap menjadi antara pendekatan berkesan untuk menyemarakkan semangat cinta akan negara khususnya dalam kalangan pelajar.

Bibiana Shafawaty, 38, guru Sejarah di SMK Paku dan selaku penyelaras program KMJG di sekolah itu, menyaksikan sendiri bagaimana inisiatif ini berjaya menyemarakkan perasaan cinta akan negara dalam kalangan pelajar.

“Sebenarnya, program KMJG masih relevan melalui pendekatan komunikasi bersemukanya kerana memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menzahirkan kecintaan mereka terhadap negara.

“Kita dapat lihat bagaimana apabila pelajar terlibat dengan program sebegini, mereka lebih berpeluang meluahkan semangat patriotisme dan turut serta dalam aktiviti yang menanam rasa cinta kepada tanah air,” katanya.

Bibiana mengakui bahawa KMJG masih relevan dalam menyebarkan semangat patriotisme kepada semua pihak terutamanya golongan pelajar.

Program KMJG menyediakan peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti perarakan Jalur Gemilang, nyanyian lagu-lagu patriotik dan sesi perkongsian sejarah kemerdekaan.

Menurut Bibiana, pelaksanaan program ini telah berjaya membuka minda pelajar tentang kepentingan memahami sejarah dan menghargai keamanan yang dinikmati hari ini.

“Contohnya subjek Sejarah yang secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam menyemai semangat patriotisme kerana melalui kisah perjuangan tokoh dan sejarah pembinaan negara, murid dididik untuk menghargai kemerdekaan serta mengamalkan nilai perpaduan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menjelaskan patriotisme juga bukan sekadar slogan sebaliknya ia perlu dizahirkan melalui tindakan, rasa hormat dan usaha menjaga keamanan serta perpaduan yang dicapai hari ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda