Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Persinggahan KMJG ke Sematan Disambut Baik Masyarakat Setempat

By 10 September 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Lee Nyuk Lan/Bolhan Basah (Sarawak)

SEMATAN, 10 Sep (MalaysiaAktif) – Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia telah berjaya menyemai semangat patriotisme yang mendalam, bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah turut dirasai oleh guru dan masyarakat setempat.

Floura bangga melihat semangat patriotisme yang ditunjukkan pelajar SMK Sematan.

Ketibaan KMJG di SMK Sematan, Lundu semalam disambut baik semua pihak membuktikan keberkesanan program ini dalam memupuk rasa cinta kepada negara.

Menurut Floura Madeline, 33, kakitangan agensi kerajaan, beliau berasa bangga dan teruja melihat semangat kemerdekaan menyala dalam diri para pelajar.

“Kita telah berkonvoi bermula dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu ke SMK Lundu, SK Bumiputera, SJK Chung Hua Lundu, seterusnya ke CENTEXS dan sebelum tiba di SMK Sematan, kami sempat singgah di Telok Melano,” katanya.

Pengalaman pertama beliau menyertai konvoi KMJG bukan sahaja membangkitkan rasa cinta kepada negara, malah semangat para pelajar telah mengingatkan beliau kepada kenangan indah zaman persekolahannya yang penuh dengan aktiviti bercirikan nilai patriotisme.

Roslin beranggapan KMJG berjaya membentuk semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar.

Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah dan kawasan luar bandar bagi memastikan mesej patriotisme dapat disampaikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Sementara itu, Roslin Phiong, 50, guru Bahasa Inggeris di SMK Sematan, menyifatkan KMJG sebagai program cemerlang dalam membentuk semangat kewarganegaraan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

“Dalam era digital ini, remaja lebih terdedah kepada pelbagai isu negatif dan program seperti KMJG ini sangat penting untuk mendekatkan mereka semula kepada nilai dan identiti negara,” ujarnya.

Beliau menyarankan agar agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bekerjasama lebih erat dengan pihak sekolah untuk menganjurkan lebih banyak program berimpak tinggi yang mampu meluaskan minda pelajar.

Jessihta teruja pertama kali menyertai konvoi KMJG.

Bagi Jessihta Ahhe, 23, peserta konvoi KMJG yang mewakili Angkatan Pertahanan Awam, pengalaman menyertai program ini buat pertama kali disifatkan sebagai sangat berbaloi meskipun meletihkan.

“Saya gembira melihat semangat patriotik yang dibangkitkan bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malah turut dirasai oleh orang awam.

Saya juga menyeru agar setiap rumah mengibarkan Jalur Gemilang sebagai manifestasi cinta kepada negara,” katanya.

Jelas sekali, KMJG yang berkunjung ke Sematan semalam berfungsi sebagai platform penting dalam usaha mendidik dan menyatukan masyarakat setempat untuk menghayati semangat kemerdekaan, menghargai sejarah perjuangan dan memperkukuhkan perpaduan nasional.

-RJ-

Tinggalkan komen anda