Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tuak Bioteknologi Borneo Berpotensi Mendapat Pengiktirafan Global

By 11 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dr. Ngalih Tingi (Sarawak)

KUCHING, 11 Sep (MalaysiaAktif) – Tuak merupakan minuman tradisional etnik Dayak di Sarawak dan Penyelidikan Inovatif Tuak Bioteknologi Borneo sebelum ini oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menunjukkan potensi besar minuman tersebut untuk mendapat pengikitirafan global dan juga sebagai daya penarik pelancongan Sarawak.

Inovasi penyelidikan tersebut juga telah dibentangkan pada Persidangan Sains dan Teknologi Alam Semula Jadi Kali Ke-2 (NaSTeC 2025) yang berlangsung selama 2 hari bermula 10 September 2025 menghimpunkan pakar sains dan teknologi terkemuka daro beberapa buah negara.

Tuak Bioteknologi Borneo telah dianugerahkan Pingat Emas untuk merit inovasinya di Borneo InTex pada tahun ini.

Prof. Madya Dr Micky Vincent, 51, dan pelajarnya, Estefanny Sonia Ngalih, 24, dari UNIMAS, telah mempamerkan kaedah revolusioner penghasilan tuak menggunakan yis probiotik moden.

“Tuak ini mengandungi probiotik untuk kesihatan usus, antioksidan tinggi dan asid laktik yang bermanfaat untuk kesihatan otak di mana proses penghasilan kami menitikberatkan kebersihan dan kualiti yang konsisten,” kata Dr Micky ketika ditemui semalam.

Beliau dan Estefanny melihat NaSTeC 2025 sebagai platform penting untuk jaringan antarabangsa kerana mereka telah berpeluang berkolaborasi dengan penyelidik dari Indonesia dan Jepun melalui persidangan tersebut yang telah menyediakan ruang dialog antara penyelidik dan industri.

Mereka juga berharap minuman tuak dapat diiktiraf sebagai produk Geographical Indication (GI) Sarawak setanding minuman tradisional Korea dan Jepun kerana Tuak Bioteknologi Borneo berpotensi menjadi produk ekonomi bernilai tinggi.

“Kami juga berharap kerajaan Sarawak bukan sahaja mengiktiraf potensi tuak, malah membantu dalam penghasilan secara besar-besaran untuk menjadikannya produk GI yang diiktiraf dunia,” kata Dr Micky lagi.

Sementara itu, Estefanny menekankan penyelidikan tuak sejak 2017 bertujuan memelihara warisan tradisi dan menyeru kepada kerajaan untuk meningkatkan sokongan terhadap penyelidikan berasaskan warisan dan setiap penyelidikan harus memberi impak langsung kepada masyarakat, bukan sekadar akademik.

“Kami menggunakan lima jenis kulat terpilih yang selamat untuk menghasilkan tuak yang distandardkan dan ini bukan sekadar memelihara warisan, malah membuka peluang komersial yang mampan,” ujarnya lagi.

Penyelidikan seperti ini harus dilihat sebagai pemangkin untuk menarik minat generasi muda dalam bidang sains dan teknologi, sekaligus memelihara warisan budaya Sarawak yang berharga.

Melalui sokongan yang mencukupi, Tuak Bioteknologi Borneo berpotensi menjadi jenama global yang mempromosikan kekayaan budaya Sarawak di peringkat antarabangsa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda