
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Hasbella Hasim (Kuala Kangsar)
KUALA KANGSAR, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford meraikan Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah Tahun 2025 dalam satu majlis sederhana namun meriah.

Persembahan silat menyerikan lagi Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah.
Pengetua Roslee Abdul Wahab, menyeru agar semua pelajar terus menghayati semangat kemerdekaan bukan hanya pada bulan Ogos dan September tetapi sepanjang masa.
“Buktikan semangat patriotik kita melalui tindakan harian seperti datang ke sekolah dengan penuh tanggungjawab, menjaga kebersihan, menghormati guru selain rajin menuntut ilmu.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar negara ini terus aman, makmur dan diberkati. Semoga anak-anak semua menjadi warga yang berguna, pemimpin masa depan yang berintegriti dan mampu membawa Malaysia ke persada dunia,” katanya, di sini pagi semalam
Pengarah Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin, dalam ucapan perasmian, berkata kemerdekaan bukan sekadar perayaan pada setiap 31 Ogos tetapi harus diterjemahkan dalam bentuk cintakan keamanan, menghormati kepelbagaian kaum dan budaya, mempunyai akhlak yang baik pada sepanjang masa serta berusaha membangunkan negara ke arah kemajuan.

Penyempurnaan gimik perasmian oleh Pengarah Penerangan Negeri Perak.
“Kemerdekaan yang dikecapi hari ini tidak datang secara spontan tetapi lahir daripada pengorbanan jiwa raga para pejuang terdahulu yang sanggup menggadaikan harta, tenaga, bahkan nyawa demi melihat tanah air bebas daripada belenggu penjajahan.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menghargai pengorbanan mereka dengan mengisi erti kemerdekaan melalui semangat perpaduan, kerjasama, disiplin dan kecintaan terhadap negara serta berusaha bersungguh-sungguh menggilap potensi dan keterampilan diri sebagai pelajar,” ujarnya.
Majlis penutup sempena Bulan Kebangsaan ini diserikan dengan persembahan silat dan choral speaking (bicara berirama) serta penyampaian hadiah pertandingan sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
-RI





