
Laporan/foto: Regina Lasia (Sarawak)
LONG LAMA, 13 Sep (MalaysiaAktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI: Hari Kesihatan yang berlangsung di Dewan SJK(C) Kee Tee di sini semalam berjaya menyatukan masyarakat setempat melalui aktiviti berteraskan patriotisme dan kesedaran kesihatan.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Telang Usan dengan kerjasama Panel Penasihat Klinik Long Lama dan Klinik Kesihatan Long Lama itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus menjadi platform memperkukuh perpaduan komuniti.

Sesi senaman aerobik Komuniti MADANI DUN Telang Usan berlangsung di Waterfront Long Lama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif berkenaan yang bukan sahaja menekankan aspek kesihatan tetapi juga menyemarakkan semangat patriotisme.
“Program seperti ini wajar dijadikan wadah memperingati perjuangan kemerdekaan negara serta mengukuhkan keharmonian sosial yang menjadi asas kemajuan,” katanya.
Pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk Pertandingan Kereta Berhias Komuniti MADANI, Pertandingan Pakaian Beragam Prasekolah dan Tahap 1, Busana Patriotik Lelaki dan Wanita, serta Pertandingan Mewarna Warga Emas yang menceriakan suasana.

Sesi fotografi Dennis (lima kanan, baris belakang) bersama pemenang Pertandingan Pakaian Beragam Prasekolah dan Tahap 1.
Peserta turut mendapat manfaat daripada taklimat penerangan dan saringan kesihatan percuma yang diadakan.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Telang Usan Sao Ping Ngau Anyi, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Long Lama Dr. Yee Coh Ken, Pegawai Penerangan Daerah Telang Usan Jua Daud, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Long Lama Penghulu Desmond Yap Cheing Siang dan Ketua Komuniti MADANI Uma Akeh Penghulu Anthony Ngau.
-RJ-






